IPOH – Usaha komuniti Orang Asli Kampung Sungai Tonggang membangunkan pusat ekopelancongan Kayuh D’Tonggang bukan sekadar mencorakkan landskap pelancongan luar bandar, malah ia menjadi contoh kejayaan pelaksanaan dasar pembangunan inklusif di bawah agenda Perak Sejahtera 2030.
Pengerusi Koperasi Kampung Orang Asli Sungai Tonggang Berhad merangkap Tok Batin kampung berkenaan, Che Wan Alang berkata, kejayaan mereka meraih Anugerah Perak Sejahtera 2030 ketika Majlis Simposium Orang Asli Negeri Perak 2025 bersama Menteri Besar Perak baru-baru ini membuktikan bahawa dasar kerajaan negeri mampu memberi impak langsung kepada komuniti jika dilaksanakan secara menyeluruh dan berpaksikan keperluan rakyat.
“Kami mula usahakan Kayuh D’Tonggang sejak 2021 sebelum dibuka kepada umum secara rasmi pada 27 Ogos 2023. Alhamdulillah, ia terus berkembang walaupun pada mulanya kami ragu-ragu untuk mengusahakannya.
“Ekopelancongan ini wujud hasil bantuan pelbagai pihak dan kami bersyukur kerana ia memberi manfaat kepada penduduk di sini khususnya dalam bentuk peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur,” katanya kepada Sinar Harian.
Antara bentuk sokongan yang diterima termasuk geran RM20,000 daripada kerajaan negeri yang digunakan bagi pembinaan dua chalet tambahan serta stor menjadikan keseluruhannya enam unit chalet dan empat gazebo.
Selain itu, Che Wan berkata, pihaknya turut menerima bantuan RM10,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk membina surau bagi kemudahan pelancong menggantikan kawasan solat sementara di pondok berhampiran yang disediakan.
Tambah beliau, pendekatan berasaskan ekonomi hijau dan pelancongan komuniti yang diterapkan di Kayuh D’Tonggang selari dengan prinsip teras dalam Perak Sejahtera 2030.
Sebagai contoh, chalet dan gazebo yang dibina menggunakan bahan semula jadi seperti buluh dan bertam sebagai mengekalkan identiti alam sekitar.
“Penduduk kampung, terutama kaum ibu dan belia, kini lebih aktif. Mereka membantu dalam penyediaan makanan dan pengurusan program pelancongan dan mereka dibayar.
“Ini secara tidak langsung menjana pendapatan dan meningkatkan keyakinan diri,” katanya.
Selain menarik pelancong domestik dari Perak, Johor dan Melaka, Kayuh D’Tonggang turut dikunjungi pelawat luar negara termasuk dari England dan Bangladesh yang hadir melalui program anjuran Global Environment Centre (GEC) dan Yayasan Hasanah.
Che Wan turut berkongsi perancangan untuk membangunkan santuari ikan tengas yang kini sedang dibaik pulih selepas kerosakan akibat kepala air.
“Inisiatif yang disediakan oleh kerajaan negeri benar-benar menjadi pemangkin kepada kami. Kalau dulu kami hanya ikut jejak Kampung Kuala Mu, kini Kayuh D’Tonggang juga dikenali dan mendapat pengiktirafan.
“Kami percaya, dengan kerjasama berterusan bersama kerajaan dan agensi berkaitan, kampung kami boleh terus maju seiring pelan pembangunan negeri,” katanya.
Dengan pendekatan yang menekankan pembangunan mampan dan penglibatan komuniti, Kayuh D’Tonggang kini menjadi antara model terbaik kejayaan dasar Perak Sejahtera 2030 yang mengangkat potensi luar bandar serta komuniti Orang Asli dalam arus pembangunan negeri.
Sumber: Sinar Harian