SLIM RIVER: Bekas pengawal keselamatan, Mohd Aris Haridas Abdullah, 69, melahirkan rasa syukur apabila terpilih sebagai antara penerima Kad Perak Sejahtera, sekali gus dapat meringankan beban hidupnya selepas tidak lagi mampu bekerja.
Mohd Aris berkata, selepas menamatkan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan, dia mencari rezeki dengan mengumpul dan menjual kotak terpakai bagi menampung keperluan keluarga.
Namun, faktor usia serta masalah kesihatan yang semakin kerap dihadapi menyebabkan dia tidak lagi mampu melakukan kerja itu seperti dahulu, sekali gus menjejaskan pendapatannya.
“Syukur nama saya terpilih sebagai salah seorang penerima Kad Perak Sejahtera dan layak menerima bantuan RM100 sebulan.
“Bantuan ini mungkin kelihatan kecil, tetapi apabila diterima secara konsisten setiap bulan, ia benar-benar membantu mengurangkan beban perbelanjaan keluarga dan membolehkan wang yang ada digunakan untuk keperluan lain,” katanya.
Menurutnya, bantuan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membeli barangan keperluan asas bagi menyara kehidupan keluarga.
Katanya, pendapatan daripada hasil jualan kotak terpakai tidak menentu, selain terpaksa bersaing dengan individu lain yang turut menjalankan pekerjaan sama.
“Hasil jualan kotak terpakai yang digabungkan dengan bantuan RM100 melalui Kad Perak Sejahtera membolehkan saya membeli barangan keperluan harian termasuk barang kering dan barang basah.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memperkenalkan inisiatif ini. Dalam keadaan harga barang yang tidak menentu, bantuan ini sedikit sebanyak membantu saya meneruskan kelangsungan hidup,” katanya yang mempunyai enam anak, empat daripadanya sudah berumah tangga.
Mohd Aris berkata, bagi memudahkan kerjanya mengumpul kotak terpakai di sekitar kawasan perniagaan di pekan ini, dia menggunakan motosikal roda tiga yang diterima menerusi Program Pemerkasaan Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Terima bantuan Baitumal
Katanya, bantuan motosikal itu diterima selepas dia terserempak dengan seorang pegawai Baitulmal yang mencadangkan supaya dia memohon kemudahan berkenaan bagi memudahkan urusan mengangkut kotak.
“Saya juga menerima bantuan bulanan RM400 daripada Baitulmal dan wang itu digunakan untuk menampung perbelanjaan harian keluarga.
“Saya amat berterima kasih kepada MAIPk dan Baitulmal yang banyak membantu saya meneruskan kehidupan,” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan Perak 2026 pada November tahun lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan 21,000 penerima akan menikmati manfaat Kad Perak Sejahtera membabitkan peruntukan keseluruhan RM24.5 juta.
Inisiatif itu bertujuan membantu B40, miskin dan miskin tegar membeli barangan keperluan asas harian di 291 kedai serta pasar raya panel berdaftar di seluruh negeri dengan nilai bantuan keseluruhan RM1,200 setahun.
Pelaksanaan Kad Perak Sejahtera antara inisiatif di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, khususnya menerusi Flagship 2: Perumahan Sejahtera dan Flagship 6: Membasmi Miskin Tegar 2025 bagi memperkukuh usaha kerajaan negeri membasmi kemiskinan tegar.
Sumber: Berita Harian

© 2026. Hak cipta terpelihara.