IPOH – Insentif Siswa Yayasan Perak (INSISYP) diwujudkan sebagai satu bentuk bantuan kewangan awal kepada anakanak Perak untuk meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada dalam mahupun luar negara.

Nur Shifa Shafiqah Ahmad Jais, 23, dari Bagan Datuk merupakan salah seorang pelajar yang menerima manfaat daripada insentif tersebut sehingga berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan.

Berasal daripada keluarga sederhana, Nur Shifa mengakui keadaan kewangan keluarganya menjadi pendorong utama untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Insentif ini sangat besar ertinya buat saya sekeluarga yang kurang berkemampuan. Dengan adanya bantuan itu dapatlah saya mengejar cita-cita sebagai marine surveyor.

“Insya-ALLAH selepas ini saya harap dapat menyumbang sesuatu untuk negeri Perak satu hari nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Anak keempat dari lima orang adik beradik itu kini sedang menamatkan pengajian tahun akhir dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Marin dan Teknologi di UIAM.

Sejak dilancarkan pada tahun 2009, hampir 180,000 pelajar telah menerima manfaat daripada INSISYP yang dahulunya dikenali sebagai Dermasiswa Yayasan Perak.

Program itu merupakan bantuan tunai sekali beri, tanpa syarat merit atau bidang tertentu tetapi menyasarkan mereka yang benar-benar memerlukan.

Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, INSISYP diwujudkan bagi memastikan tiada pelajar Perak tercicir daripada menyambung pengajian kerana beban kewangan.

“Setiap permohonan membawa kisah tersendiri. INSISYP bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi satu bentuk sokongan moral yang membuka jalan untuk mereka mengubah masa depan.

“Matlamat utamanya adalah untuk meringankan beban perbelanjaan permulaan yang biasanya ditanggung pelajar dan keluarga,” katanya.

Menurutnya, permohonan terbuka kepada anak kelahiran Perak yang menyambung pengajian sepenuh masa semester pertama di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda sama ada di IPTA atau IPTS yang diiktiraf dengan syarat pendapatan isi rumah tidak melebihi RM7,500 sebulan.

Selain membantu yuran dan kos asas, program itu selari dengan hasrat Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan pendidikan sebagai pemangkin utama pembangunan modal insan dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Katanya, Yayasan Perak juga sedang meneliti penambahbaikan program, termasuk menaikkan jumlah insentif bagi pelajar dalam bidang kritikal dan mempercepatkan proses permohonan secara digital.

Usaha itu juga adalah sebahagian daripada sokongan berterusan terhadap Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk menjadikan Perak sebagai negeri yang maju, sejahtera dan inklusif melalui pendidikan sebagai pemangkin utama mobiliti sosial dan pembangunan negeri.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai INSISYP boleh melayari laman web rasmi Yayasan Perak atau menghubungi pejabat Yayasan Perak.

Sumber: Sinar Harian

en_USMalay