IPOH – Kajian berhubung kepimpinan wanita sebagai ibu yang dilaksanakan di Perak bakal menjadi panduan penting kerajaan negeri dalam merangka program menjurus ke arah sejahtera sosial seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030.

Kajian bertajuk Pengaruh Kepimpinan Ibu Terhadap Motivasi Belajar Anak-Anak di Perak: Penghargaan Kendiri Ibu Sebagai Mediator oleh Universiti Sains Malaysia (USM) itu telah mengenal pasti beberapa dapatan penting berkaitan kepimpinan ibu di negeri ini.

Dapatan kajian memberi gambaran yang jelas mengenai peranan ibu sebagai pemimpin dalam organisasi keluarga dan bagaimana gaya kepimpinan mereka memberi impak kepada perkembangan akademik anak-anak.

Antara penemuan diperolehi menerusi kajian berkenaan adalah beban mendidik anak lebih banyak dipikul oleh isteri berbanding suami di samping kekangan masa dan tahap keyakinan rendah dalam membantu akademik anak.

Ketua penyelidik, Profesor Madya Dr Aziah Ismail berkata, kajian berbentuk tinjauan soal selidik itu melibatkan 400 pasangan ibu dan anak di pelbagai lokaliti termasuk bandar, luar bandar, pedalaman, sekolah Orang Asli serta kawasan Felda di Perak.

“Sesetengah ibu merasakan tanggungjawab mendidik lebih tertumpu kepada mereka tanpa sokongan mencukupi daripada pasangan.

Di dalam buku kajian yang dihasilkan turut mengemukakan beberapa cadangan tindakan antaranya menyediakan latihan kemahiran keibubapaan berdasarkan pendekatan kepimpinan yang berkesan.

Selain itu, ibu yang mengalami tekanan dan kesukaran dalam menguruskan anak-anak mereka perlu diberikan sokongan psikologi serta beberapa saranan berkaitan turut dicadangkan.

Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed menegaskan kerajaan negeri menyambut baik dapatan tersebut yang disifatkan sebagai kajian pertama seumpamanya di negeri ini.

Katanya, hasil data itu menjadi asas penting dalam menggubal program lebih berkesan, bukan hanya bergantung kepada andaian atau laporan tidak rasmi.

“Dengan kajian ini, kita dapat melihat punca sebenar masalah yang dihadapi ibu termasuk aspek sokongan sosial, kesihatan mental dan kefahaman tentang tanggungjawab mendidik anak.

“Kepimpinan wanita bukan sahaja dalam organisasi, malah bermula dalam keluarga. Dari sinilah lahirnya kesejahteraan masyarakat dan masa depan negara,” katanya.

Kajian berkenaan dibiayai oleh kerajaan negeri melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak, ia dibuka untuk digunapakai pelbagai pihak sekali gus menegaskan kepentingan data dalam memperkukuh dasar pembangunan sosial negeri.

Sumber: Sinar Harian

en_USMalay