PASIR SALAK: Inisiatif Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Negeri Perak mengadakan pertandingan atau ‘grand prix’ memburu ikan asing adalah antara usaha berterusan jabatan itu dalam mengawal lambakan ikan asing yang mengancam biodiversiti perikanan asli di sungai-sungai khususnya di Perak.

Ia dapat disaksikan apabila program Grand Prix Memburu Ikan Asing Siri 2 Perak 2025 yang berlangsung di Sungai Galah, Kampung Gajah, di sini pada 16 dan 17 Ogos lalu mencatatkan rekod pendaratan ikan spesis asing hampir 4 tan.

Untuk 2025, Program Grand Prix Memburu Ikan Asing diadakan di Taman Dr Seenivasagam, Ipoh pada 12 hingga 13 Julai lalu bagi Siri 1, manakala untuk Siri 3 di Jambatan Victoria, Kuala Kangsar pada 20 hingga 21 September ini.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain, berkata ‘grand prix’ memburu ikan asing yang diadakan adalah sebahagian usaha berterusan Jabatan Perikanan dalam mengawal lambakan ikan asing yang mengancam biodiversiti perikanan asli di sungai-sungai negara.

Beliau berkata, program itu dijangka memberi impak positif kepada ekosistem sungai dan menjadi model penganjuran konservasi berasaskan komuniti di negeri lain pada masa akan datang.

Katanya, ‘grand prix’ Siri 2 di Kampung Gajah berjaya menarik penyertaan 53 pemburu ikan asing termasuk daripada Skuad Pemburu Ikan Asing, dengan menumpukan ikan asing seperti dari spesies ikan bandaraya, baung ekor merah, dan patin Chao Phraya.

“Bagi siri pertama di Ipoh sebelum ini, program memburu ikan asing berjaya mengeluarkan 2.3 tan (6,420 ekor) ikan bandaraya dan peacock bass, sekali gus memberi impak besar dalam usaha pemuliharaan sumber asli negara.

“Program Siri 2 yang berlangsung berjaya memecahkan rekod pendaratan ikan Siri 1 dengan pencapaian hampir 4 tan (3,996.60 kg) ikan asing dengan bilangan 14,521 ekor keseluruhan.

“Usaha membanteras spesies ikan asing perlu dilakukan secara berterusan melalui pendekatan holistik yang bukan sahaja membabitkan aktiviti pemburuan, tetapi juga sokongan komuniti setempat.” katanya.

Katanya, ‘grand prix’ diadakan bukan sekadar pertandingan namun platform kesedaran masyarakat mengenai bahaya spesies asing terhadap ekosistem biodiversiti sungai yang turut merisikokan sekuriti atau keterjaminan makanan.

Beliau berkata, selain memburu ikan asing, DOF turut melepaskan benih ikan asli di Sungai Galah sempena program ‘grand prix’ itu yang membabitkan spesies temoleh, kerai dan udang galah dengan nilai keseluruhan RM18,400.

“Ia sebagai langkah konservasi untuk memulihkan stok ikan tempatan dan mengimbangi ekosistem perairan.

“Melalui aktiviti memburu dan pelepasan benih ikan asli, kita memastikan sungai terus menjadi habitat yang sihat serta menjamin kelestarian sumber perikanan negara,” katanya.

Jabatan Perikanan diletakkan sebagai antara agensi yang menerajui agenda serta ‘flagship’ Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dalam pelan jangka panjang pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Kelestarian Alam dan Biodiversiti turut diletakkan sebagai satu daripada tiga agenda baharu dalam pelan Perak Sejahtera 2030, selain dari agenda Pembangunan Sosial dan Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sumber: Berita Harian

en_USMalay