IPOH – Ekonomi digital dikenal pasti sebagai salah satu komponen penting dalam menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030 bagi memastikan pembangunan negeri yang mampan, sejahtera dan inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Perak, Mohamad Suhaimi Mohamad Tahir berkata, Pelan Tindakan Ekonomi Digital 2030 yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 4 Jun lalu merupakan pelengkap kepada pelan induk pembangunan sosioekonomi negeri itu.

Menurutnya, pelan itu berteraskan empat komponen utama yang menyokong ekosistem ekonomi digital negeri merangkumi infrastruktur, pentadbiran, perniagaan dan masyarakat.

“Teras pertama memberi penekanan kepada penyediaan akses kepada infrastruktur digital yang berkualiti seperti rangkaian 4G, 5G dan jalur lebar, khususnya di kawasan luar bandar yang masih berdepan liputan lemah.

“Kerajaan negeri turut melihat kepada alternatif seperti penggunaan teknologi satelit untuk mengatasi kekangan menara telekomunikasi dan gentian optik,” katanya ketika ditemui di Pejabat Digital Perak, baru-baru ini.

Mohamad Suhaimi berkata, inisiatif itu dilaksanakan secara berperingkat menerusi kerjasama bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta agensi berkaitan.

Menurutnya, teras kedua pula menumpukan kepada pentadbiran awam yang cekap dan digital melalui pelaksanaan e-Kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat secara berkesan.

Jelasnya, pendigitalan sektor awam termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah keutamaan untuk menjadikan konsep Bandar Pintar atau smart city satu kenyataan.

Sementara itu, teras ketiga pula memberi tumpuan kepada usaha memperkasa ekosistem perniagaan yang rancak dipacu pendigitalan terutama dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“PMKS merupakan penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan peluang pekerjaan, namun masih ramai yang belum melaksanakan transformasi digital secara menyeluruh.

“Kita bantu mereka bermula dengan sistem pembayaran tanpa tunai, kemudian beralih kepada sistem jualan (point of sale) dan seterusnya ke platform e-dagang agar produk mereka mampu menembusi pasaran serantau dan antarabangsa,” katanya.

Mohamad Suhaimi berkata, teras keempat pula memberi penekanan kepada pemerkasaan masyarakat melalui pendigitalan khususnya dalam meningkatkan literasi digital dan membentuk gaya hidup digital yang selamat. “Kita mahu masyarakat bukan sekadar menggunakan teknologi, tetapi turut memahami risiko seperti penipuan dalam talian.

“Oleh itu, kesedaran dan latihan kepada usahawan, pekerja kerajaan, swasta dan orang awam turut diberikan,” katanya.

Tambah beliau, sebanyak 21 program di bawah pelan tindakan itu telah dimulakan secara berfasa sejak 2022 meliputi pembangunan infrastruktur hingga ke peningkatan kemahiran digital rakyat Perak.

Mengulas hala tuju seterusnya, Mohamad Suhaimi berkata, fokus kini turut diberikan kepada penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan Bandar Pintar Negeri Perak 2040 yang dilancarkan serentak bersama pelan ekonomi digital.

“Pusat kecemerlangan seperti Smart Perak Research and Innovation Centre (SPRIN) dan AI Academy sedang dirancang untuk mewujudkan ekosistem penyelidikan, pembangunan dan latihan secara lebih menyeluruh di peringkat negeri.

“Kita yakin dengan penyelarasan pelbagai inisiatif termasuk penyediaan insentif dan geran oleh kerajaan negeri dan persekutuan, ekonomi digital mampu melonjakkan pembangunan negeri dan mencapai aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

en_USMalay