IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 secara sebulat tanpa sebarang pindaan pada Rabu.

RUU Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 yang diluluskan mengandungi lapan bahagian dan 30 fasal dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Selasa sebelum dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Seramai 15 orang ADUN melibatkan lima wakil kerajaan dan 10 wakil pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan sebelum penggulungan oleh Saarani.

Sejurus selepas penggulungan, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan enakmen diluluskan bagi bacaan kali kedua dan ketiga selepas dipersetujui semua ADUN.

Ketika membentangkan RUU tersebut, Saarani berkata, RUU itu sebagai langkah penting bagi menggantikan peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 yang tidak pernah dipinda sejak lebih dua dekad.

“Justeru, pindaan ini menjadi suatu keperluan mendesak agar kerajaan merangka dan melaksanakan peruntukan-peruntukan baharu yang lebih komprehensif supaya undang-undang sedia ada dapat diselaraskan dengan cabaran pendidikan masa kini demi memastikan sekolah-sekolah agama Islam terus relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi aspirasi ummah.

“Enakmen baharu ini memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk memperkasa, menyelaras dan memperkemas pentadbiran institusi pendidikan agama Islam di Perak agar lebih teratur, berkesan dan mampu memenuhi cabaran zaman,” katanya ketika berucap membentangkan usul tersebut.

Sementara itu, semasa menggulung perbahasan, Saarani menjelaskan, walaupun terdapat perbezaan pandangan berhubung butiran teknikal dan pelaksanaan namun semua pembahas berkongsi hasrat sama bagi memelihara martabat pendidikan Islam.

Beliau menegaskan, undang-undang baharu itu bukan senjata politik sebaliknya merupakan pelindung kepada institusi pendidikan Islam di negeri ini.

“Janganlah ada yang menuduh RUU ini menjadi senjata untuk menekan atau akhirnya menutup sekolah-sekolah agama atas faktor-faktor politik.

“Tiada niat untuk kita menutup mana-mana sekolah agama sebaliknya membuka ruang kepada sekolah-sekolah agama untuk beroperasi dengan lebih diyakini oleh masyarakat kerana wujudnya peruntukan undang-undang yang jelas, adil dan telus,” jelasnya.

Sementara itu, Saarani memaklumkan kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk meneliti secara menyeluruh isu-isu dibangkitkan khususnya berkaitan prasarana sekolah agama serta kebajikan guru dan kakitangannya.

Ketanya, pasukan khas ini akan dianggotai oleh pelbagai pihak yang berkepentingan melibatkan jabatan kerajaan, agensi berkaitan serta wakil masyarakat bagi memastikan setiap permasalahan dapat dikenal pasti, ditangani dan diselesaikan.

Sumber: Sinar Harian

en_USMalay