USAHA kerajaan negeri Perak memperkasa modal insan diterjemah menerusi Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (Taspen) yang menyediakan dana permulaan pendidikan kepada anak-anak negeri ini seawal kelahiran.
Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan aspirasi Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan matlamat Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
Katanya, menerusi Taspen, setiap anak yang layak akan menerima simpanan awal RM200 yang dimasukkan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN Prime).
“Objektif utama program ini adalah untuk meringankan beban kewangan ibu bapa dan memupuk budaya menabung demi masa depan pendidikan anak-anak.
“Sehingga kini lebih 40,000 anak Perak menerima manfaat ini dan diharapkan insentif awal ini dapat mencetuskan semangat ibu bapa untuk terus menabung secara konsisten,” katanya kepada Sinar Harian.
Nasreen Khanum berkata, pelaburan dalam pendidikan seawal usia ini sebahagian daripada usaha jangka panjang negeri untuk melahirkan generasi berpengetahuan dan berdaya saing, sebagaimana digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.
Mengulas mengenai kelayakan permohonan, beliau menjelaskan program ini terbuka kepada anak-anak yang lahir di Perak dan berusia 13 tahun ke bawah pada tarikh permohonan.
“Selain itu, salah seorang ibu atau bapa mesti memenuhi syarat kelahiran atau bermastautin di negeri ini melebihi 10 tahun, dan pendapatan isi rumah tidak lebih RM7,500 sebulan,” katanya.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web rasmi Yayasan Perak dengan keperluan mengemukakan dokumen sokongan.
Bagi memastikan lebih ramai ibu bapa mendapat manfaat Taspen, Yayasan Perak turut mengambil pendekatan proaktif melalui pelbagai saluran promosi termasuk media sosial, media cetak, program komuniti serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan.
“Maklumat tentang program ini turut disalurkan di hospital dan klinik bersalin melalui kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Jabatan Pendaftaran Negara,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nasreen Khanum tidak menolak kemungkinan insentif Taspen akan ditambah baik pada masa depan.
Katanya, antara cadangan sedang dikaji adalah memperkenalkan sumbangan padanan, di mana ibu bapa yang terus menabung dalam akaun anak mereka akan menerima sumbangan tambahan daripada Yayasan.
“Ini bukan sahaja meningkatkan jumlah simpanan, malah menggalakkan komitmen berterusan dalam merancang pendidikan anak-anak,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 1979, Yayasan Perak terus komited memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan negeri, seiring usaha merealisasikan visi negeri berdaya saing, makmur dan sejahtera menjelang tahun 2030.
Sumber: Sinar Harian