Teluk Intan: Keputusan bekas kontraktor telekomunikasi ini ‘balik kampung’ dan menceburi bidang pertanian ulam di Kampung Banjar, di sini, lapan tahun lalu berbaloi apabila dapat menjana pendapatan bulanan.
Nor Azlan Abdul Rahman, 43, yang sebelum ini bekerja di Kajang, Selangor berkata, keputusan itu dibuatnya atas niat menjaga ibunya, Maznah Hassan, 70, yang tinggal berseorangan di kampung selepas bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Menurutnya, pada peringkat awal, dia memulakan perniagaan dengan menjual benih sayur-sayuran terutama ulam-ulaman kerana mendapati kurangnya pengusaha dalam nurseri sayur di pekan berkenaan.
“Saya tanam ulam raja dan daun selom di tepi rumah, kemudian hasilnya saya jual di pasar malam.
“Selain itu, saya juga menjual benih, tanah baja dan ubat serangga.
“Dari situ, perniagaan berkembang sehingga saya dapat membangunkan kebun seluas 0.5 ekar tanaman ulum dan terbaharu, empat ekar untuk tanaman pisang sejak beberapa bulan lalu, kini menanti hasil pertama,” katanya.
Bapa dua anak itu berkata, perjalanan sebagai pekebun di kampung tidak sentiasa mudah, namun sokongan padu dari pelbagai agensi kerajaan negeri menjadi tunjang kejayaannya.
“Jabatan Pertanian Perak membantu menerusi program Agropreneur Muda, dengan geran bernilai RM20,000 yang saya terima pada 2023.
“Geran ini digunakan untuk pembinaan rumah hijau berukuran 20×30 kaki yang membolehkan tanaman sayur lebih rintang cuaca ekstrem dan memastikan hasil pengeluaran yang optimum,” katanya.
Selain itu, katanya, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) turut memberikan bantuan peralatan jentera traktor yang memudahkan dan mempercepat kerja di kebun serta bantuan sistem boring (telaga air bawah tanah), empat tahun lalu.
Beliau berkata, bantuan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak dan Perak SADC sebagai agensi peneraju flagship Lembah Bakul Makanan (Keterjaminan Makanan) seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Nor Azlan berkata, dia mendapat sokongan kuat dari keluarga terutama isteri, Norhasniza Ayob, 40, yang sentiasa membantu urusan perniagaan.
“Mula-mula dahulu memang hendak mulakan semula hidup baharu di kampung, tapi kami nekad. Alhamdulillah, saya anggap ini adalah rezeki asbab menjaga kebajikan ibu tersayang,” katanya.
Berkat hasil jualan sayur-sayuran dan pengurusan kewangan yang baik, Nor Azlan berkata, dia berjaya membina sendiri sebuah rumah kayu tradisional pada 2018, dengan kos pembinaan sekitar RM30,000, tanpa perlu berhutang.
Kini, dia aktif memberikan kursus fertigasi dan landskap di sekolah sekitar Teluk Intan, selain mengajar orang kampung untuk menanam sayur.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memupuk minat pertanian dalam kalangan komuniti.
“Saya percaya dengan sokongan berterusan daripada agensi kerajaan dan semangat juang yang tinggi, pertanian ini bukan sahaja dapat menjana pendapatan berbalai, malah dapat membina komuniti yang lebih berdikari,” katanya.
Sumber: Harian Metro

© 2025. Hak cipta terpelihara.