Lumut: Pasangan suami isteri yang dahulunya hanya menjual pakaian kini berjaya membina empayar perniagaan produk hasil laut yang bukan sahaja terkenal di Lumut dan Pulau Pangkor, malah turut menembusi pasaran antarabangsa seperti Singapura dan Brunei.
Zalina Napiah, 45, dan suami, Ahmad Tarmizi Hashim, 69, kini dikenali sebagai antara pengusaha utama ikan bilis mata biru yang menjadi buruan pelancong.
Zalina berkata, suaminya mula berniaga pakaian pada 1986 serta menjual produk hasil laut di pameran ekspo sekitar Manjung.
“Kami aktif menjual hasil laut pada 2008.
“Selepas perniagaan makin maju, kami gunakan jenama Hasil Laut Tarmizi dan Zalina serta mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) empat tahun lalu,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, produk istimewa mereka, ikan bilis mata biru sememangnya hanya boleh didapati di perairan Pangkor dan mempunyai kualiti serta rasa yang unik menjadikannya oleh-oleh wajib bagi sesiapa yang berkunjung.
Selain menjual ikan bilis, sotong kering dan udang kering, mereka turut memproses sendiri ikan kering seperti ikan kurau dan talang.
“Kami juga menjual snek hasil laut. Snek ini kami OEM (Pengilang Peralatan Asal) dengan syarikat di Pangkor, tetapi menggunakan resipi kami sendiri dan sijil halal kami sendiri. Jadi, pelanggan lebih yakin dan tidak was-was,” katanya.
Berkat usaha gigih, perniagaan mereka terus berkembang dengan pembukaan kedai di Jalan Titi Panjang, Pekan Lumut di sini dan satu lagi cawangan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng yang beroperasi lebih 10 tahun.
Zalina berkata, kejayaan ini tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan misalnya Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bertindak sebagai rakan strategik utama yang memudahkan urusan pelesenan dan mempromosikan Lumut sebagai destinasi pelancongan maritim.
Selain itu, katanya, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) banyak memberi peluang untuk meluaskan pasaran di luar Perak serta luar negara.
“Kerajaan Perak dan STeP beri kami bantuan reruai percuma ketika Karnival Mega 3 Dimensi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Kami dapat berkenalan dengan vendor lain dan ada syarikat dari Seremban yang berminat dan sudah mula menjual produk hasil laut kami di premis mereka.
“STeP juga pernah bawa kami pergi ke Singapura pada 2023 dan Brunei pada Jun lalu. Pelanggan dari Singapura memang ada hubungi kami lagi nak ulang tempah. Mereka suka ikan bilis, ikan kurau kering dan sotong berperisa pedas,” katanya, membuktikan produk tempatan mampu menawan selera antarabangsa.
Beliau berkata, sokongan agensi berkenaan membuktikan komitmen mereka sebagai agensi peneraju segmen 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi, salah satu inisiatif dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Inisiatif 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi bertujuan memaksimumkan potensi ekonomi unik setiap daerah dengan memperkenal dan membangunkan industri atau aktiviti ekonomi tertentu yang berpotensi, seterusnya menambah pendapatan rakyat di setiap daerah.
Sumber: Harian Metro

© 2025. Hak cipta terpelihara.