BAGAN DATUK – Perak bakal menyaksikan kelahiran pusat industri perikanan bertaraf dunia menerusi Taman Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk (BDIFIP) di wilayah Baroh daerah Bagan Datuk.
BDIFIP merupakan projek pelaburan berimpak tinggi di atas tanah milik Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) seluas 127.8 hektar yang dijangka akan mengubah landskap ekonomi negeri.
Projek bernilai RM2 bilion itu akan melalui pembangunan berperingkat selama enam tahun dari 2027 hingga 2033.
Projek tersebut akan merealisasikan sebuah taman perindustrian berpagar dan terurus yang mampu menarik pelabur antarabangsa dari China, Korea Selatan, Australia dan negara-negara Asia Tenggara.
Kehadiran syarikat-syarikat global dalam industri makanan dan perikanan itu akan menjadikan BDIFIP sebagai pusat kecemerlangan yang beroperasi mengikut piawaian antarabangsa tertinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Anuar Zainal Abidin berkata, jalinan kerjasama strategik antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan Younchang Engineering & Construction (M) Sdn Bhd merupakan rakan strategik untuk membawa kepakaran teknologi termaju serta jaringan pasaran global yang luas dalam industri itu.
“MB Inc Perak sebagai sebuah GLC negeri komited untuk menggerakkan projek industri perikanan berskala besar ini sekali gus memberikan pulangan pelaburan yang tinggi kepada ekonomi negeri Perak.
“Pembangunan BDIFIP merupakan langkah strategik Kerajaan Negeri Perak dalam memperkasa pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.
“Inisiatif ini akan mengubah landskap sosioekonomi daerah Bagan Datuk dan merealisasikan potensinya sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi di rantau utara Semenanjung Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek berkenaan akan menjadi pemangkin utama dalam mencipta peluang ekonomi baharu dalam mewujudkan sebanyak 5,500 peluang pekerjaan yang berkualiti kepada penduduk tempatan.
“Pekerjaan ini merangkumi pelbagai tahap kemahiran daripada pekerja mahir dan separa mahir hinggalah kepada jawatan pengurusan, kejuruteraan dan pegawai teknologi.
“Impak berganda projek ini akan menghasilkan limpahan manfaat kepada ekonomi setempat dan BDIFIP akan menjana pertumbuhan dalam pelbagai sektor sokongan termasuk pembangunan industri hiliran, peningkatan aktiviti logistik dan pengangkutan serta peningkatan nilai tanah di kawasan sekitar,” katanya.
Majlis prapelancaran BDIFIP yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Dato’ Lope Hashim di sini, baru-baru ini menandakan komitmen teguh Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan visi transformasi ekonomi negara melalui sektor perikanan dan makanan halal.
Majlis itu diperkukuh lagi dengan sesi pertukaran dokumen perjanjian antara MB Inc Perak dan Younchang Engineering & Construction (M) Sdn Bhd serta sesi menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Younchang Engineering (M) Sdn Bhd dan MingCheng Group Co Ltd.
Sumber: Sinar Harian