Kuala Kangsar: Bermula dengan pengalaman peribadi melawan penyakit kronik, kini bawang putih tunggal difermentasi atau black garlic menjadi sumber rezeki utama Zainul Halim Zainon, 56, menerusi jenama Mesra Herb.
Anak jati Kampung Kota Lama Kiri, di sini berkata, beliau sebelum ini menghidap diabetis, darah tinggi dan sakit jantung sehingga tidak mampu bangun pada 2019 sebelum seorang rakan memberinya lima botol black garlic untuk diamalkan.
“Selepas lima hari mengamalkannya, saya rasa perubahan ketara dan semakin sihat.
“Dari situ timbul keinginan untuk mengetahui cara menghasilkan black garlic bagi kegunaan sendiri,” katanya.
Pekerja teknologi maklumat (IT) yang masih aktif itu berkata, bahan mentah bawang putih tunggal diperoleh dari Medan, Indonesia sebelum melalui proses fermentasi selama dua minggu bagi menghasilkan black garlic.
Menurutnya, proses fermentasi memerlukan penggunaan elektrik yang tinggi dengan kos operasi mencecah antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan, sekali gus menjadi cabaran utama perniagaan.
“Rasanya masam dan masin seperti buah prune.
“Namun, permintaan tetap tinggi terutama ketika pandemik Covid-19 apabila banyak artikel membincangkan kebaikan bawang putih,” katanya.
Zainul Halim berkata, beliau memulakan perniagaan itu pada Julai 2020 dan menjalankannya secara serius bermula 2021 menggunakan simpanan peribadi RM20,000 termasuk pembelian bawang putih tunggal secara dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Usaha itu membuahkan hasil apabila jualan menerusi platform Shopee mencatat keuntungan sehingga RM1 juta pada 2022.
Beliau kemudian mengolah dan mengembangkan produk black garlic Mesra Herb kepada 24 produk termasuk kopi, teh, jus, campuran susu kambing dan sabun hasil kerjasama penyelidikan dengan pengkaji dari Mesir dan Bangladesh.
Kini, katanya, Mesra Herb mampu menghasilkan kira-kira 5,000 botol black garlic dan 3,000 kotak kopi sebulan bagi memenuhi permintaan pasaran.
Zainul Halim berkata, pasaran eksport produknya kini sudah menembusi Brunei, Singapura dan Kemboja dengan Brunei menjadi negara eksport pertama.
Beliau turut mengakui bantuan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) memainkan peranan besar dalam perkembangan syarikatnya apabila pegawai agensi itu melawat kilang pada 2023.
“STeP banyak membantu termasuk menaja reruai pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) serta membawa kami menyertai pameran di Singapura pada Ogos 2023 yang membantu mendapatkan pengedar di rantau Asia.
“Sokongan STeP membuktikan komitmen mereka sebagai agensi peneraju segmen 1 Keluarga 1 Usahawan, salah satu inisiatif dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini dalam perbincangan bersama pengedar di New Zealand dan Jepun tahun ini bagi memperluaskan lagi pasaran eksport produk black garlic Mesra Herb.
Sumber: Harian Metro

© 2026. Hak cipta terpelihara.