GOPENG – Kerajaan negeri Perak membuka peluang kepada 18 usahawan negeri itu meneroka potensi pasaran baharu di negara Brunei menerusi penyertaan dalam Consumer Fair & Trade Expo 2025 Brunei Darussalam yang dijadual berlangsung dari 25 hingga 29 Jun ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, penyertaan itu merupakan langkah strategik kerajaan negeri dalam usaha memperluas pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 10 usahawan dipilih di bawah penyelarasan kerajaan negeri menerusi Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) manakala lapan lagi menyertai secara bersama bagi menambah kekuatan promosi produk Perak di pameran tersebut.

“Brunei merupakan pasaran baharu untuk kerajaan negeri dan kita melihat potensinya sangat besar berdasarkan sambutan positif yang diterima sebelum ini menerusi penyertaan usahawan secara individu.

“Sasaran kita untuk jualan kali ini dianggarkan sekitar RM1 juta, namun saya yakin dengan keunikan produk dan kesamaan budaya pemakanan, ia mampu mencapai lebih daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Pelepasan Produk Usahawan Perak ke Consumer Fair & Trade Expo 2025 Brunei Darussalam yang disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun di pekarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), di sini pada Rabu.

Tambah Salbiah, usaha memperkenalkan produk usahawan Perak ke pasaran luar negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri dan ia dibuat secara berterusan melalui kerjasama pelbagai agensi.

“Ia mampu meningkatkan pendapatan usahawan malah membuka peluang pekerjaan serta memperkukuh jenama produk tempatan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Usaha itu juga sejajar dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi rakyat khususnya golongan usahawan melalui strategi pembangunan yang inklusif dan lestari.

Sementara itu, usahawan NZ Food & Baverages Sdn Bhd, Muhammad Ikmal Ahmad Zaki berbesar hati apabila diberikan peluang oleh STeP untuk meluaskan pasaran ke luar negara.

Jelasnya, pengalaman pertama memasarkan produknya iaitu minuman jus buah-buahan dan nata de coco nya ke luar negara diharap menjadi batu loncatan untuk syarikat melebarkan sayap ke peringkat global.

“Peluang memasarkan produk ke luar negara ini akan kita gunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan jualan selain mempromosikan jenama dari Perak kepada dunia,” katanya. Menurut Muhammad Ikmal, kilang yang berpangkalan di Lekir, Sitiawan itu memulakan operasi pada tahun 1998 dengan bantuan Jabatan Pertanian serta kemudian dibantu 10 agensi lain.

Sumber: Berita Harian

en_USMalay