IPOH – Dari Slim River ke Washington DC, kisah keberanian dan ketekunan pereka fesyen muda, Sazrin Jaafar, membuktikan lokasi bukan halangan untuk mencipta nama di pentas antarabangsa.

Pemilik jenama Zachrin Jaafars itu berkata, kejayaan membawa busana berteraskan budaya dan seni tradisional Perak ke luar negara memberi inspirasi bahawa anak kampung juga mampu menggapai impian global.

“Pada awalnya saya agak risau sebab berpangkalan di Slim River, tetapi saya jadikan itu sebagai kekuatan. Saya mahu tunjuk bahawa walaupun dari luar bandar, kita tetap boleh pergi jauh asalkan ada usaha dan ilmu.

“Saya tekankan kepentingan pengajian sama ada dalam bidang Pendidikan dan Latihan Tenikal dan Vokasional (TVET) atau pendidikan tinggi, kerana ia membuka ruang untuk kita kenal potensi diri dan membina kemahiran yang boleh menjana pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas berkongsi pengalaman dalam program AIM TVET Bersama Cikgu Saarani sempena Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025 di Stadium Indera Mulia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, Slim River bukan sekadar tapak perniagaan tetapi juga menjadi ‘cerita asal’ yang menguatkan identiti jenamanya.

“Selain mempromosikan produk, saya juga membawa cerita rakyat, budaya dan seni tempatan Perak ke dalam rekaan. Itu menjadikan jenama saya berbeza, kerana bukan sekadar busana, tetapi membawa naratif budaya yang lestari,” ujarnya.

Sejak ditubuhkan, Zachrin Jaafars bukan sahaja menembusi pasaran Kuala Lumpur, malah pernah menerima jemputan mewakili Malaysia di ASEAN Culture Day di Washington DC, Amerika Syarikat serta pertunjukan fesyen songket di Laos.

Beliau turut pernah mempersembahkan koleksi di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW), sebelum mendapat perhatian Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat yang menjemputnya menyertai acara UNESCO Intangible Cultural Heritage Songket Fashion Show.

Mengulas peranan TVET, Sazrin menegaskan ia perlu diberikan penekanan kepada generasi muda kerana bidang kemahiran mampu memberi pulangan setara malah lebih baik daripada kerjaya profesional.

“Saya percaya TVET ini penting kerana ia praktikal dan boleh membawa seseorang lebih jauh,” jelas pengasas butik Maison Zachrin Jaafars itu.

Program AIM TVET Bersama Cikgu Saarani merupakan usaha berterusan kerajaan negeri bagi menggalakkan penglibatan anak muda dalam bidang kemahiran selari dengan aspirasi pelan Perak Sejahtera 2030.

Sazrin turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri Perak kerana memberikan ruang untuknya berkongsi pengalaman dan mengangkat kisah anak tempatan.

Berbekalkan pengalaman sebagai graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta peranan sebagai pereka fesyen dan tenaga pengajar, Sazrin optimis bahawa Slim River akan terus menjadi titik tolak untuk busana Perak berdiri gah di pentas dunia.

Kejayaan Sazrin membuktikan bahawa anak muda Perak tidak perlu berhijrah ke luar negeri ini untuk mencari pekerjaan seperti dihasratkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sumber: Sinar Harian

ms_MYEnglish