TANJUNG MALIM: Minat mendalam dalam perniagaan buah-buahan tempatan menjadi pendorong kepada seorang peniaga, Muhammad Halim Zainal Abidin, 46, untuk terus bertahan walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang hampir 20 tahun berkecimpung dalam bidang itu.

Muhammad Halim berkata, minatnya terhadap perniagaan buah-buahan bermula sejurus tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), apabila beliau mengambil keputusan untuk menceburi bidang berkenaan selepas memperoleh keputusan peperiksaan yang kurang memuaskan.

Katanya, bekalan buah-buahan yang dijual diperoleh daripada penduduk setempat selain pembekal mengikut musim, khususnya ketika musim durian dan buah-buahan tempatan lain.

“Saya memulakan perniagaan tanpa lesen menyebabkan operasi tidak berjalan lancar. Ketika berniaga di Kuala Lumpur, saya pernah disaman lebih 10 kali kerana menjalankan perniagaan tanpa permit yang sah.

“Selepas itu saya pulang ke kampung halaman di Slim River, namun masih berdepan masalah sama sehingga terpaksa berpindah-randah mencari lokasi sesuai untuk berniaga,” katanya ketika ditemui di Medan Agrobazaar Tol Lama Slim River, di sini.

Beliau berkata, keadaan itu memaksanya sentiasa mencari lokasi baharu kerana kebanyakan tapak digunakan adalah milik peniaga lain atau tidak sesuai untuk aktiviti perniagaan.

“Buah-buahan seperti durian, manggis, langsat, tembikai dan nanas tidak boleh disimpan terlalu lama. Apabila diarahkan berpindah, saya terpaksa akur dan mencari lokasi lain untuk mengelakkan kerugian.

“Itulah cabaran yang saya lalui selama bertahun-tahun. Namun, selepas memperoleh lesen perniagaan sah, masalah itu tidak lagi berulang,” katanya.

Bapa kepada dua anak dan seorang cucu itu berkata, sebahagian bekalan buah-buahan juga diperoleh daripada pengusaha di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) SKC Slim yang diuruskan Jabatan Pertanian.

Lokasi lebih strategik

Selepas sekian lama berniaga secara berpindah-randah, Muhammad Halim mengambil inisiatif memohon lot perniagaan yang disediakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebaik memperoleh lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Alhamdulillah, pada Februari tahun lalu saya berjaya memperoleh lot perniagaan FAMA selepas hampir 20 tahun berkecimpung dalam bidang ini.

“Saya bersyukur kerana bukan sahaja mendapat tapak tetap untuk berniaga, malah kadar sewanya juga berpatutan.

“Lokasi ini sangat strategik. Ia menjadi kawasan persinggahan pengguna Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, terutama ketika musim cuti sekolah dan musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air yang disediakan turut membolehkan perniagaan diuruskan dengan lebih selesa serta teratur.

Selain itu, katanya, FAMA turut membantu mempromosikan jualan buah-buahan tempatan menerusi penganjuran Program Jualan Agro MADANI (JAM), sekali gus memperluaskan pasaran kepada usahawan dan pengusaha tempatan.

“Melalui program seperti ini, saya bukan sahaja dapat menjana pendapatan sendiri, malah turut membantu petani dan pengusaha buah-buahan tempatan memasarkan hasil mereka kepada pengguna,” katanya.

FAMA antara agensi yang menyokong agenda Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam usaha memperkukuh keterjaminan dan sekuriti makanan negeri menerusi pembangunan sektor agromakanan yang mampan serta berdaya saing.

Sumber : Berita Harian