Teluk Intan: Biarpun diuji penglihatan yang semakin kabur akibat glaukoma, Muhammad Hadri Johari tidak menyerah kalah dalam kehidupan.

Anak jati Chenderong Balai berusia 31 tahun itu berkata, hidupnya umpama dipalu ujian bertalu-talu apabila penglihatannya semakin terhad sejak usianya awal 20-an.

“Dahulu saya ambil diploma dalam bidang teknologi maklumat di sebuah pusat latihan orang buta di Kuala Lumpur, tetapi penglihatan semakin teruk dan saya tidak dapat meneruskan kerjaya dalam bidang itu.

“Tamat sahaja diploma, saya pernah cuba ternak ayam namun gagal kerana saya tidak dapat menguruskan sendiri.

“Saya juga pernah rancang membuka dobi, tetapi menyedari modal dan penyelenggaraannya tidak sesuai untuk saya,” katanya.

Tersentak dengan peluang kerjaya yang tipis, Muhammad Hadri berkata, dia cuba mengambil upah mengurut di rumah selepas mendapat galakan daripada ahli keluarga dan jiran yang berpuas hati dengan sentuhan urutannya.

“Ketika itu, saya tidak berani menetapkan harga perkhidmatan kerana tiada kemahiran urutan secara formal, jadi saya beritahu pelanggan supaya bayar seikhlas hati mereka dan pendapatan ketika itu hanya sekitar RM400 sebulan.

“Antara pelanggan awal saya adalah pesakit strok. Pada mulanya saya agak ragu-ragu untuk membantu.

“Tetapi selepas beberapa sesi, saya dimaklumkan pesakit tadi ada perubahan positif, daripada jalan terseret, dia boleh berjalan biasa dan tangannya yang lemah boleh diangkat semula. Itu buat saya rasa seronok dapat membantu orang,” katanya.

Bapa dua anak itu berkata, momen itu membuka mata bahawa kemahiran urut boleh menjadi kerjaya tetap jika diasah dengan betul.

Dia kemudiannya membina pondok kecil dengan bantuan bapa saudara di hadapan rumah keluarganya di Kampung Sc Belt, di sini.

“Ada katil bujang, kerusi malas dan kipas kecil. Saya tarik sambungan elektrik dan mula menerima pelanggan luar. Lama-kelamaan, pelanggan semakin bertambah,” katanya.

Bercerita lanjut, dia berkata, usahanya itu mendapat perhatian Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang menawarkan kursus refleksologi selama 20 hari secara percuma di Ipoh pada 2018 lalu.

Menurutnya, selepas menyertai beberapa siri kursus PASAK dan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 pada 2023, dia mula yakin mengenakan caj profesional dan perniagaannya semakin berkembang.

Jelasnya, pencapaian itu diperoleh menerusi Sijil Kemahiran Malaysia-Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) mengambil kira syarat kelulusan termasuk pengalaman bekerja melebihi lima tahun.

“Pelanggan tanya ada sijil atau tidak dan apabila saya tunjukkan SKM, mereka lebih yakin.

“Pondok kecil tempat saya mencari rezeki kini sudah dinaik taraf kepada pusat refleksologi, Teratak Urut HaDefa mempunyai dua bilik urut berasingan untuk lelaki dan wanita pada Februari tahun lalu,” katanya.

Dia berkata, PASAK bukan sahaja menyediakan latihan, malah memberi peralatan asas seperti kerusi refleksologi serta elaun RM500 setiap kali kursus yang membantu meringankan bebannya.

“Saya dan isteri, Deva Nur Varahim Azis Kasman, 29, yang turut membantu perniagaan kini meraih pendapatan sekitar RM800 hingga RM1,000 sebulan, malah ada ketikanya mencecah RM1,500 jika pelanggan ramai.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan PASAK kerana prihatin terhadap masa hadapan dan kelangsungan kerjaya OKU seperti kami,” katanya.

PASAK ialah agensi peneraju . Koridor TVET Negara di bawah pelan Perak Sejahtera 2030, cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang komited memastikan keterjaminan sosial, peluang ekonomi dan pekerjaan inklusif untuk rakyat negeri ini termasuk komuniti OKU.

Sumber: Harian Metro

ms_MYEnglish