LENGGONG: Menjaga arwah bapanya yang menghidap strok separuh badan menjadi titik permulaan buat Lizawati Sulaiman, 43, mendalami ilmu urutan sebelum kemahiran itu berkembang menjadi sumber rezeki untuk membantu suaminya menyara keluarga.
Bermula sekadar mahu mengurangkan kos rawatan bapanya, wanita cekal itu kini mengusahakan perkhidmatan bergerak di bawah jenama Liza Urutan Pantang di Kampung Teluk Batu, Lenggong, dengan menawarkan pelbagai khidmat termasuk urutan refleksologi, urutan strok, penjagaan selepas bersalin serta penjagaan warga emas.
Lizawati berkata, pendapatan daripada perkhidmatan secara bergerak itu banyak membantu menampung keperluan keluarga memandangkan suaminya hanya bekerja kampung dengan pendapatan di bawah RM1000 sebulan.
Katanya, mereka perlu menyara enam anak berusia antara tiga hingga 20 tahun, selain menanggung kos persekolahan dan perbelanjaan harian yang semakin meningkat.
“Ketika saya mula belajar mengurut pada 2016, niat asal hanyalah untuk membantu ayah yang perlu menjalani rawatan urutan secara berkala setiap minggu.
“Pada waktu itu saya tinggal di Ipoh dan ayah pula menetap bersama abang. Kos rawatan agak tinggi, mencecah RM250 untuk satu sesi seminggu. Disebabkan itu saya mula belajar teknik urutan daripada seorang wanita berpengalaman secara tidak formal,” katanya kepada BH.
Menurut Lizawati, selepas bapanya meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu, dia mengambil keputusan pulang ke kampung di Lenggong dan menjadikan kemahiran urutan sebagai modal mencari rezeki.
Katanya, dia lebih selesa bekerja sendiri kerana perlu membahagikan masa menguruskan anak-anak termasuk hal persekolahan mereka.
“Kalau bekerja dengan orang, masa agak terikat. Jadi saya pilih untuk bergerak sendiri supaya lebih mudah mengurus keluarga dan pada masa sama masih boleh mencari pendapatan,” katanya.
Lizawati berkata, kemahirannya turut diperkukuhkan menerusi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).
Beliau menyertai Kursus Refleksologi dan Urutan Mobile di bawah Program Pembangunan Ekonomi Asnaf (PROPER A) MAIPk pada 2022 yang bukan sahaja meningkatkan kemahirannya, malah turut menerima bantuan RM2,000 untuk membeli peralatan urutan.
Selain itu, beliau turut mengikuti Kursus Asas Penjagaan Warga Emas anjuran PASAK menerusi program TVET Modular Industri selama seminggu pada 2024.
Tidak berhenti di situ, Lizawati kini sedang mengikuti pengajian Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam bidang penjagaan selepas bersalin atau postnatal tajaan MAIPk.
Menurutnya, pengambilan diploma berkenaan penting bagi memenuhi syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mewajibkan pengamal penjagaan selepas bersalin memiliki pengiktirafan dan lesen berkaitan.
“Sekarang kebanyakan pengamal perubatan tradisional dan penjagaan wanita bersalin perlu berdaftar di bawah KKM. Disebabkan saya pernah mengikuti program PROPER A sebelum ini, saya ditawarkan pula mengikuti pengajian DKM ini.
“Kalau boleh saya mahu mengembangkan lagi perniagaan termasuk membuka kedai sendiri suatu hari nanti. Jadi selagi ada peluang belajar, saya mahu manfaatkan sebaik mungkin,” katanya.
MAIPk dan PASAK masing-masing menjadi antara agensi peneraju kepada ‘flagship’ Program Pemerkasaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat di bawah pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang diperkenalkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Antara fokus utama program itu ialah agenda 1 Warga 1 Skil menerusi PASAK dan 1 Keluarga 1 Usahawan di bawah MAIPk bagi memperkasa ekonomi rakyat melalui pembangunan kemahiran dan keusahawanan.
Sumber: Berita Harian

© 2026. Hak cipta terpelihara.