Kuala Kangsar: Berbekalkan minat mendalam dalam bidang kulinari serta jiwa dahagakan ilmu, pelajar Kolej Komuniti Chenderoh, Umar Ridha Nirul Azwan, 26, membuktikan bahawa laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menggilap potensinya ke peringkat antarabangsa.

Anak muda itu berjaya mengharumkan nama negara menerusi penyertaannya dalam ’12th Bali Salon Culinaire’ di Indonesia dan ‘2nd Vietnam Bakery Competition’ masing-masing pada Mac dan Disember tahun lalu.

“Saya tak pernah sangka boleh membantu kolej merangkul empat pingat perak dan empat gangsa di Bali serta dua pingat perak di Vietnam.

“Ini semua kerana asas kukuh yang saya peroleh melalui sistem pembelajaran TVET yang sangat praktikal dan fokus kepada kemahiran sebenar,” katanya.

Menurut Umar, selepas tamat bersekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tasik Mutiara, dia memulakan langkah dalam bidang kulinari menyertai program sijil kulinari di Kolej Komuniti Nibong Tebal sebelum menyambung ke peringkat diploma di Kolej Komuniti Chenderoh, di sini.

“Saya memang dari awal cenderung kepada bidang kulinari.

“Apabila tahu kolej komuniti tawarkan diploma, saya tak ragu-ragu untuk sambung pengajian untuk mengasah lagi kemahiran.

“Saya selesa dengan pendekatan hands-on yang melengkapi teori. Bila masuk latihan industri di hotel, saya rasa lebih bersedia,” katanya.

Berkongsi impian, Umar berkata, dia merancang untuk membuka kafe kecil sebagai permulaan sebelum mengembangkan perniagaan kepada sebuah restoran bertaraf Michelin Star halal.

Tambahnya, dia sangat menyokong fokus Kerajaan Negeri Perak pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melalui agenda Perak Sejahtera 2030 yang menjadikan TVET sebagai tunjang pembangunan belia.

Di bawah pelan berkenaan, kerajaan negeri memberi fokus kepada flagship Koridor TVET Malaysia, bertujuan melahirkan ramai bakat warga Perak yang berkemahiran dan memenuhi permintaan industri.

Sumber: Harian Metro

ms_MYEnglish