IPOH – Inisiatif Kerajaan Negeri Perak memperkenalkan tiga kitab bacaan asas merupakan langkah strategik mengimarah dan menjadi pelengkap program pengajian di masjid dan surau seluruh Perak.
Kitab Qalbun Salim dan Sifat 20: Suatu Pengenalan Asas susunan Ustaz Muhadir Haji Joll serta Mutiara Minhajul Abidin oleh Ustaz Raja Ahmad Mukhlis Raja Jamaluddin kini menjadi bahan bacaan yang digunakan untuk mengisi masa terluang khususnya di antara waktu Maghrib dan Isyak.
Setiausaha Masjid Al-Ansar Bandar Meru Raya, Mohd Fairoz Affendy Md Nordin berkata, ketiga-tiga kitab itu begitu penting dalam memenuhi tuntutan fardu ain merangkumi tiga tonggak penting iaitu akidah, feqah dan tasawuf.
“Kitab ini juga sebenarnya di peringkat masjid sendiri menjadi pelengkap kepada pengajian kitab atau kuliah yang kita buat secara bulanan di masjid.
“Penjelasan dan kandungan kitab-kitab ini menggunakan laras bahasa yang mudah difahami oleh orang awam atau ahli kariah berbanding kitab turath yang menggunakan laras bahasa agak tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pengenalan kitab-kitab itu amat dialu-alukan oleh jawatankuasa masjid kerana para imam sendiri boleh membacakannya kepada jemaah pada waktu yang tiada kuliah.
Menurutnya, biarpun Masjid Al-Ansar aktif mengadakan siri-siri kuliah namun ada keadaan tertentu terutama pada hujung minggu terdapat kekosongan waktu yang tidak dapat dipenuhi penceramah.
Katanya, pada waktu kosong itu diisi dengan pembacaan kitab-kitab berkenaan terutama Mutiara Minhajul Abidin yang belum diajar atau disentuh oleh guru bertauliah dalam siri kuliah di masjid berkenaan.
“Kesemua kitab berkenaan sangat memberi manfaat kepada ahli kariah dan jemaah di masjid ini kerana ia membimbing insan untuk bersihkan hati dari sifat-sifat yang buruk dan tercela.
“Ia juga membantu kita kenal apa sifat mahmudah dan mazmumah seterusnya menjadikan kita sebagai hamba yang sentiasa bersyukur,” katanya.
Jelas Mohd Fairoz Affendy, walaupun kitab-kitab tersebut disediakan, masjid tetap mengambil pendekatan bahawa perlu ada guru bertauliah untuk mengajar serta memberi penerangan secara terperinci mengenai kandungannya.
Di Perak terdapat sebanyak 634 buah masjid, 52 Surau Diri Jumaat dan 54 Surau Ta’addud Jumaat serta seramai 1,695 Imam bertauliah telah dilantik di seluruh negeri.
Kitab-kitab tersebut boleh digunakan oleh para imam untuk menyampaikan ilmu di masjid dan surau agar memastikan program bermanfaat dapat dilaksanakan jika tiada kuliah mingguan atau bulanan.
Usaha itu juga seiring dengan aspirasi pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah sasaran Sejahtera Sosial yang memberi penekanan kepada pembinaan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan sejahtera melalui pengukuhan institusi masjid sebagai pusat ilmu serta pembentukan sahsiah.
Sumber: Sinar Harian