TANJUNG MALIM: Minat yang mendalam serta keyakinan terhadap potensi besar sektor pertanian mendorong seorang anak muda, R Dinesh, 36, mengusahakan tanaman terung mini sehingga mampu meraih pendapatan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan.

Lulusan Diploma Elektrik Tulen dari Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, itu berkata, sektor pertanian menawarkan peluang yang luas dan pulangan lumayan jika diusahakan secara tekun, sistematik serta mengaplikasikan teknik tanaman moden.

Katanya, dia mula menceburi bidang pertanian sejak tujuh tahun lalu selepas terlebih dahulu mengusahakan penternakan lembu.

Berbekal tanah seluas kira-kira dua hektar disewa dari Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), dia memilih terung mini sebagai tanaman utama berikutan permintaan tinggi, harga yang stabil dan kaedah penjagaan lebih mudah.

“Tanaman ini hanya memerlukan kira-kira 58 hari untuk mengeluarkan hasil bermula dari peringkat semaian sebelum dipindahkan ke batas yang ditutup dengan plastik hitam bagi mengawal rumpai, selain mengekalkan kelembapan dan suhu tanah,” katanya ketika ditemui di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) SKC Slim River.

TKPM SKC Slim River adalah kawasan hab pertanian berskala besar di bawah kendalian Jabatan Pertanian Perak.

Katanya, penggunaan baja organik seperti najis ayam dan mikroorganisma membantu memastikan pokok membesar dengan baik serta menghasilkan buah yang berkualiti.

Setiap pokok yang subur katanya, mampu menghasilkan sehingga lima kilogram (kg) buah bergantung kepada penjagaan, keadaan cuaca serta penggunaan baja dan racun perosak.

“Saya menanam kira-kira 1,000 pokok terung mini selain peria, terung bulat dan kelapa sebagai tanaman sampingan.

“Hasil dituai setiap dua hari sekali dengan pengeluaran sekitar 150kg sebelum dijual kepada pemborong untuk dipasarkan ke Pasar Borong Selayang,” katanya.

Raih RM15,000 sebulan

Bagi menjamin pemasaran hasil, Dinesh menandatangani Perjanjian Ladang Kontrak atau Perjanjian Jual Beli bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak yang membolehkan hasil tanamannya terus dipasarkan, walaupun berlaku turun naik harga.

Usaha itu membolehkan beliau memperoleh pendapatan sekitar RM10,000 hingga RM15,000 sebulan bergantung kepada jumlah tuaian, harga pasaran dan keadaan cuaca.

Dinesh turut mempunyai kemahiran khusus dalam bidang penternakan ikan air tawar, termasuk penternakan lembu selepas menjalani pelbagai kursus dengan pihak berkaitan.

Katanya, untuk perancangan masa depan beliau berhasrat mengusahakan ternakan ikan air tawar dan lembu tempatan bagi menambah hasil pendapatan, di samping mempelbagaikan aktiviti di kawasan terbabit.

Dinesh berkata, peluang menyewa tanah disediakan PPPNP di bawah kendalian Jabatan Pertanian bukan sahaja membuka ruang menjana pendapatan, malah mampu menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian yang menjadi antara tonggak sekuriti makanan negara selaras dengan Agenda Perak Sejahtera 2030.

Perak Sejahtera 2030 menekankan kepentingan sekuriti makanan di dalam Agenda Satu dengan memperkukuhkan sektor pertanian dan hasil pengeluaran agromakanan dan nisbah kawasan tanaman makanan.

Sehubungan itu, PPPNP dan Jabatan Pertanian tampil sebagai agensi peneraju dan FAMA agensi yang menyokong bagi memastikan Agenda Satu Perak Sejahtera 2030 tercapai dengan cemerlang.

Program ini adalah cetusan berwawasan dan visi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemampanan dan kesejahteraan rakyat.

Sumber : Berita Harian