CHEMOR – Kejayaan Kampung Ulu Kuang mengangkat potensi semula jadi dan kekuatan komuniti sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi membuktikan kemampuan masyarakat luar bandar yang sentiasa berdaya saing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ulu Kuang, Hamdan Ishak berkata, pendekatan kepada prinsip menggali potensi sedia ada seperti sumber alam semula jadi sejajar dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Menurutnya, keindahan alam semula jadi di Kampung Ulu Kuang memberi ruang untuk mencipta satu bentuk ekonomi yang merupakan salah satu flagship pelan induk pembangunan negeri Perak.

“Kami meneroka dan membangunkan kekuatan yang memang sudah ada di kampung ini seperti air terjun dan kolam air panas dalam Hutan Simpan Korbu. Ia berpotensi besar sebagai produk ekopelancongan,” katanya kepada Sinar Harian.

Hamdan berkata, JPKK kini dalam proses mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perhutanan dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) untuk membangunkan kawasan tersebut secara sah dan mampan.

Katanya, sokongan dan bantuan yang diberikan kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kinta membolehkan aktiviti sosioekonomi terus berkembang.

Tambah beliau, Kampung Ulu Kuang turut menjadi tuan rumah kepada perlumbaan ekstrem antarabangsa Rainforest Challenge sejak 2023 yang disertai lebih 30 negara.

Jadi tidak hairanlah jika Kampung Ulu Kuang berjaya meraih pencapaian yang sangat membanggakan dan sering memenangi pelbagai pertandingan seperti Pertandingan Kampung contoh Peringkat Daerah, Pertandingan Aspirasi Desa Madani (ADM) Peringkat Negeri Perak, Pertandingan Aspirasi Desa Sejahtera (ADS) Peringkat Negeri Perak dan sedang menunggu keputusan bagi Pertandingan Aspirasi Desa Madani Peringkat Kebangsaan bagi kategori debat dan pengucapan awam.

“Kami berjaya memenangi tempat ketiga Anugerah Desa Sejahtera 2024 yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad. Kami juga mewakili negeri Perak dalam Pertandingan Aspirasi Desa Madani Peringkat Kebangsaan, baru-baru ini.

“Kemenangan itu dinilai berdasarkan tadbir urus kampung, perancangan masa depan, pelaksanaan projek dan penglibatan antarabangsa. Kami ada pelan tindakan dan tidak bergerak secara rambang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, JPKK memanfaatkan peruntukan RM100,000 daripada program Sejati Madani dengan membeli 10 unit kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) yang akan digunakan dalam pakej pelancongan menyusuri sungai, kawasan kampung serta lokasi air panas itu.

Jelasnya, pelbagai kejayaan yang diperolehi dibantu dan disokong oleh pejabat daerah serta kerajaan negeri yang mahu melihat kampung-kampung di Perak terus membangun mengikut acuan pelan Perak Sejahtera 2030.

Sumber: Sinar Harian

ms_MYEnglish