Kuala Kangsar: Bermula sebagai kumpulan petani kecil-kecilan, Koperasi Agro Ternak Melayu Perak Berhad (KATAM) kini muncul perintis pertanian pintar di negeri ini.
Pengerusi KATAM, Mohd Helmi Muhammad Rozi berkata, koperasi yang ditubuhkan tiga tahun lalu itu kini dianggotai 28 petani berusia antara 35 hingga 57 tahun.
Katanya, pada peringkat awal, ahli koperasi menumpukan tanaman cili fertigasi, timun dan labu air secara sistematik dalam 20,000 beg poli di tanah seluas 1.62 hektar di Kampung Suak Petai, Manong di sini.
“Inisiatif ini bermula sekitar 2022 selepas kita mendapat kerjasama dua institut pendidikan tinggi awam (IPTA) yang membantu membangunkan robot pertanian khas dan sistem Internet Pelbagai Benda (IoT) di ladang kita.
“Sistem IoT ini membolehkan robot melakukan kerja-kerja kawalan racun dan pemantauan baja secara automatik.
“Selain itu, kita juga mengaplikasikan teknologi rumah hijau pintar supaya dapat mencipta persekitaran yang optimal termasuk perlindungan cuaca ekstrem untuk menjamin tumbesaran tanaman tidak terganggu,” katanya.
Berkongsi lanjut, Mohd Helmi berkata, terbaru KATAM meneroka peluang dalam penanaman buah ‘rock melon’ dengan bimbingan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang memperuntukan bantuan modal RM30,000, Januari lalu.
“Rock melon dipilih menggantikan sebahagian besar tanaman cili memandangkan harga pasaran rock melon yang lebih stabil iaitu RM6 sekilogram, berbanding cili yang kini jatuh kepada RM4 sekilogram.
“Dengan tempoh mula tanam hingga tuaian sekitar 75 hari sahaja, berat buah itu boleh mencecah antara 2.3 hingga 2.5 kg.
“Hasil tuaian pertama rock melon kami jual semasa Hari Terbuka Ladang pada 9 hingga 11 Mei lalu dengan harga runcit sehingga RM10 sekilogram. Kita berjaya jual hampir satu tan hasil dalam tempoh tiga hari, selebihnya kita jual kepada pemborong,” katanya.
Berbalik kepada tanaman cili, Mohd Helmi berkata, cabaran utama dihadapi kelompok petani kecil ketika ini adalah ketidaktentuan pasaran, kos operasi tinggi, kos input, serta persaingan dengan lambakan hasil dari projek berskala besar dan cili import dari luar negara.
“Bagi memastikan kelangsungan, kita merancang untuk hasilkan produk hiliran seperti sos cili dan cili boh.
“Ini akan bantu stabilkan harga di peringkat ladang, mengurangkan kerugian akibat lambakan serta memanjangkan hayat simpanan hasil cili.
“Kita sudah mula jalani kursus latihan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan koperasi dijangka mula hasilkan produk hiliran sendiri seawal Ogos depan,” kata.
Pada masa sama, koperasi turut menerima bantuan input seperti anak benih, racun dan baja daripada Jabatan Pertanian Perak, serta dana pemulihan struktur rumah pam yang rosak akibat bencana ribut menerusi Tabung Bencana Pertanian.
“Selain sektor pertanian, ahli KATAM juga mengusahakan 12 gerai makanan di Medan Selera Lepak Manong di sini dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).
“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) baru-baru ini membantu menaiktaraf medan selera ini dengan struktur berbumbung melalui Program Penggalakan Koperasi Sebagai Perusahaan Sosial (SE.RASI) bagi keselesaan usahawan dan pengunjung,” katanya.
Mohd Helmi berkata, sebagai pemacu transformasi luar bandar menerusi teknologi pertanian dan kecekapan pengurusan, pihaknya komited menyokong agenda sekuriti makanan seperti digariskan dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030, cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sumber: Harian Metro