LENGGONG: Bermula dengan 21 rusa diternak pada 2021, Koperasi Penggerak Ekonomi Lenggong Berhad (COSPEL) yang mengendalikan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) Ternakan Rusa Lenggong di Ladang Sadang, kini mempunyai kira-kira 300 rusa.

Pengerusi Jawatankuasa PROSPEK Lenggong, Mohd Noor Azam Ismail, berkata penternakan rusa daripada baka Java timorensis yang disepadukan bersama agrotani dan agropelancongan itu kini mengorak langkah kepada sektor baharu iaitu edutourism (pelancongan pendidikan) di ladang di Mukim Durian Pipit.

Menurutnya, suntikan dana permulaan RM8 juta diperoleh daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi tempoh lima tahun membolehkan COSPEL menguruskan ladang berkeluasan 91 hektar itu.

Katanya, menjadikan ternakan rusa secara padang ragut sebagai pengkhususan di ladang terbabit, selain tanaman tembikai, anggur, serai dan sawi; PROSPEK Lenggong dikenali pengeluar daging rusa terbesar di Lenggong, mengorak langkah menggandakan sektor agropelancongan menerusi latihan disediakan kepada komuniti setempat.

“Komponen agropelancongan kini mendapat permintaan dengan ladang dibuka untuk kehadiran orang luar bagi melihat bagaimana tatacara pengurusan rusa serta pengurusan pertanian bagi tanaman dilaksanakan.

“COSPEL juga mengumpulkan peserta di bawah program PROSEPEK ini daripada kategori keluarga B40 yang sudah melalui saringan sistem e-Kasih dan proses temu duga. Mereka dihantar kursus, seterusnya bersama dengan kami membangunkan ladang.

“Kami juga menawarkan ruang berkolaborasi kepada mereka melalui sistem berkongsi keuntungan bersama,” katanya.

Mohd Noor Azam yang juga Ketua Penolong Pegawai Daerah Lenggong, berkata selain KPLB, penternakan itu turut mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), termasuk menerusi RM2 juta yang disumbangkan bagi pembangunan di ladang dalam hasrat ke arah agenda keterjaminan makanan.

“Projek ladang rusa ini kita sudah cadangkan kepada pihak kerajaan negeri untuk didaftarkan di bawah pelan pembangunan negeri, Pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah keterjaminan makanan. Ini kerana kita ada kolaborasi dengan Perak SADC yang juga bantu memantau projek ini.

“Jadi kami bersama dengan Perak SADC kolaborasi dari segi perancangan, walaupun pihak ladang PROSEPEK sendiri mempunyai jawatankuasa penilaian tersendiri. Malah, kami turut berkolaborasi dengan jabatan dan agensi kerajaan lain sama ada peringkat negeri mahupun pusat.

“Ia termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Pertanian (DOA) untuk memastikan ladang ini setara dengan ladang lain dari segi kualiti dalam usaha pembangunan industri rusa di pasaran,” katanya.

Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan ) diletakkan sebagai . atau andalan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dengan Perak SADC, JPV dan Jabatan Pertanian diletakkan sebagai antara agensi yang penerajunya.

Sumber: Berita Harian

ms_MYEnglish