TAIPING – Kejayaan mengusahakan projek ternakan kerang sejak lebih dua dekad lalu membolehkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi menikmati pulangan lumayan bagi memperkasa sektor ekonomi komuniti nelayan setempat.

Pengurus Besar PNK Sungai Tinggi, Rizuan Razak berkata, projek ternakan kerang yang dijalankan di kawasan seluas 80 hektar di Sungai Tinggi, Trong kini menjadi antara sumber utama pendapatan ahli persatuan dengan hasil jualan mencecah antara RM600,000 hingga RM700,000 setahun sekali gus membolehkan mereka menambah aset baharu.

Menurutnya, projek ternakan kerang itu mendapat suntikan awal daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak pada tahun 2024 melalui peruntukan sebanyak RM250,000.

“Daripada keuntungan bersih kira-kira RM400,000 tahun lalu, kita mampu membeli dua buah bot baharu untuk kegunaan pelancongan dan rekreasi.

“Bot ini digunakan untuk membawa pelancong menyusuri sungai, aktiviti memancing serta memberi makan helang di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Perasmian Bot Agropelancongan Anadara Granosa oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Kerang di sini baru-baru ini.

Rizuan berkata, selain menjana pendapatan utama melalui ternakan kerang, PNK Sungai Tinggi turut mengembangkan aktiviti agropelancongan dengan memanfaatkan sumber alam semula jadi yang tersedia.

Menurutnya, ketika ini PNK Sungai Tinggi mempunyai empat buah rumah rakit bagi menampung kehadiran pelancong tempatan dan luar untuk merasai suasana dikelilingi laut. “Setiap rumah rakit boleh menampung 10 orang pada satu-satu masa.

Secara purata, kita menerima 300 hingga 400 pengunjung sebulan dan jumlah itu meningkat terutama pada musim cuti umum serta hujung minggu.

“Disebabkan permintaan semakin tinggi, kita tambah dua buah bot lagi, menjadikan keseluruhan empat buah bot bagi menampung keperluan pelancong,” katanya.

Tambahnya, kadar bayaran untuk aktiviti pelancongan itu ialah sekitar RM30 seorang bagi aktiviti menyusuri sungai, manakala bagi pakej bermalam di rumah rakit, bayaran dikenakan sekitar RM70 seorang semalam.

Setakat ini, PNK Sungai Tinggi mempunyai seramai 13 pekerja tempatan dengan lapan orang menguruskan kawasan ternakan kerang dan lima lagi bertanggungjawab terhadap operasi rumah rakit serta bot rekreasi.

Menurut Rizuan, selain digunakan untuk membeli aset dan menampung kos operasi, keuntungan hasil perniagaan turut diagihkan dalam bentuk dividen antara lima hingga 10 peratus kepada 1,400 ahli persatuan.

“Selain memberi pulangan kepada ahli, kita juga salurkan sebahagian hasil keuntungan untuk program kebajikan seperti pembayaran zakat, bantuan baik pulih rumah dan sumbangan komuniti,” katanya.

Inisiatif yang dijalankan oleh PNK Sungai Tinggi ini selaras Pelan Perak Sejahtera 2030 yang digagaskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan menekankan pembangunan ekonomi berasaskan sumber tempatan serta peningkatan kesejahteraan komuniti luar bandar di bawah Flagship Ekonomi Pengalaman.

Sumber: Sinar Harian

ms_MYEnglish