GERIK: Pendapatan tidak menentu, lebih-lebih lagi selepas pandemik COVID-19, mendorong 14 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dari Mukim Kerunai yang hidup dalam kategori miskin menceburi penternakan ikan keli sejak setahun lalu.
Bermula Julai 2024, Projek Rangsangan Ekonomi Anggota RELA Daerah Gerik itu kini membuahkan hasil apabila ternakan diusahakan bersama, berjaya menambah pendapatan mereka yang sebelum ini hanya bergantung kepada elaun tugasan RELA.
Penyelaras program penternakan itu yang juga Pegawai RELA Daerah Gerik, Ahmad Falihin Azmi, 37, berkata kini penternakan itu diusahakan di 18 sangkar serta tangki, yang menampung 54,000 ikan keli untuk pasaran sekitar daerah Hulu Perak.
Ahmad Falihin berkata, idea penternakan itu tercetus apabila melihat ramai anggota RELA kehilangan punca pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan banyak penugasan anggota RELA dihentikan.
Malah, hingga kini penugasan anggota RELA masih kurang menyebabkan ada yang keluar mencari kerja di tempat lain.
Justeru, sebagai pegawai RELA ia menjadi cabaran kepada Ahmad Falihin dalam usaha mengekalkan anggota secara setempat.
“Ada anggota RELA kategori asnaf. Alhamdulillah, sekarang 14 peserta penternakan ikan keli ini ada sedikit tambahan pendapatan antara RM300 ke RM450 sebulan dan dijangka mampu meraih lebih lagi pendapatan dalam beberapa masa mendatang,” katanya kepada BH.
Katanya, usaha penternakan ikan itu mendapat bantuan awal RM10,000 sumbangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan ia digunakan bagi membina lapan sangkar ikan.
Bantuan lain, penerimaan Geran Program Asnaf Berjaya berjumlah RM20,500 daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).
“Dengan bantuan diterima, selain membina sangkar, ia turut dijadikan modal membeli peralatan dan barangan lain seperti pembelian benih, makanan ikan, jaring, tong, sistem perpaipan dan sebagainya.
“Kita juga menerima bantuan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam bentuk pemberian benih ikan, selain bimbingan cara menternak.
“Projek penternakan keli ini bukan hanya bantu menambah pendapatan anggota RELA atau membasmi kemiskinan tegar, malah turut menyumbang kepada sekuriti makanan,” katanya.
Beliau berkata, ikan keli mendapat permintaan tinggi, khususnya di wilayah utara daerah Hulu Perak iaitu berdekatan kawasan Pengkalan Hulu menjangkau kawasan Baling, Kedah memandangkan daerah itu lebih terkenal dengan ikan sungai dari Sungai Perak seperti loma.
“Permintaan terhadap ikan keli banyak di kawasan Hulu Perak memandangkan ikan lain seperti tilapia sudah ada pihak menternak di Lenggong. Tetapi untuk ikan keli, ia masih tak cukup di Hulu Perak sebab permintaan memang banyak.
“Pelancong yang datang ke Hulu Perak pun biasanya berkeinginan menjamah hidangan kampung kawasan setempat. Oleh kerana itu kita pilih ikan keli untuk tampung permintaan di kedai-kedai sekitar Gerik dan Baling, Kedah.
“Ikan loma terkenal di kawasan Gerik adalah ikan bermusim. Ikan keli pula senang dijaga dan cepat besar yang membolehkan kita tuai hasilnya cepat iaitu dalam masa 70 hari sudah boleh dijual,” katanya.
Membasmi Miskin Tegar 2025 menjadi satu daripada flagship atau andalan kepada pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Saarani sebagai Menteri Besar Perak, selain pelan sama turut meletakkan Perak SADC serta DOF sebagai antara agensi peneraju kepada flag- ship Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan).
Sumber: Berita Harian

© 2025. All Rights Reserved.