SLIM RIVER: Penyakit talasemia yang dihidapi sejak lahir bukan penghalang buat Muhammad Hasan Fikri Muhd Junit, 38, untuk membina kehidupan lebih baik sehingga berjaya muncul sebagai antara usahawan cendawan berjaya di daerah ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Mesin Industri dari Universiti Kuala Lumpur itu berkata, minat terhadap bidang pertanian mendorong beliau memulakan perusahaan tanaman cendawan tiram secara kecil-kecilan di rumah keluarga di Kampung Bantang, di sini.

Pada peringkat awal beliau hanya menggunakan sebuah bilik di rumah yang tidak didiami untuk menempatkan bongkah cendawan tiram sebelum perusahaannya berkembang sedikit demi sedikit.

“Sekitar 2011, saya bersama ahli keluarga berpindah ke sebuah taman perumahan berhampiran pekan Slim River bagi memudahkan arwah kakak, Nur Syakirah menjalankan perniagaan bakeri.

“Arwah meninggal dunia pada 2018 akibat talasemia ketika berusia 34 tahun. Sebelum itu rumah berkenaan pernah disewakan, namun timbul pelbagai masalah dengan penyewa menyebabkan rumah itu akhirnya dibiarkan kosong,” katanya ketika ditemui di Kampung Bantang.

Muhammad Hasan berkata, idea mengusahakan tanaman cendawan datang daripada bapanya, Mohd Junit Anuar, seorang pesara guru yang banyak memberi dorongan selain melihat potensinya sebagai sumber pendapatan.

Katanya, pada permulaan perusahaan beliau mengusahakan kira-kira 3,000 bongkah cendawan tiram dengan sebuah bilik mampu menempatkan sekitar 1,600 bongkah yang menghasilkan hampir 60 kilogram (kg) cendawan sebulan untuk dipasarkan di sekitar Slim River.

“Walaupun tanaman dibuat dalam rumah, ia langsung tidak menjejaskan struktur rumah kerana sentiasa dijaga dengan baik dan bersih.

“Ramai agak terkejut apabila mengetahui saya menanam cendawan dalam rumah, namun keadaan sentiasa terkawal,” katanya.

Menurut beliau, sejak dua tahun lalu kaedah tanaman diubah apabila beliau membina rumah cendawan khas di ruang parkir kediaman bagi meningkatkan pengeluaran hasil dan memudahkan penjagaan.

Katanya, pembinaan dua rumah cendawan itu direalisasikan selepas menerima Geran Agropreneur Muda (GAM) daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan berjumlah RM20,000.

“Setiap rumah cendawan mampu memuatkan kira-kira 1,500 bongkah, namun saya hanya menggunakan sekitar 1,000 bongkah bagi memudahkan pengurusan dan penjagaan.

“Rumah cendawan ini dilengkapi sistem kawalan suhu seperti alat penyejuk dan kipas bagi memastikan aliran udara sentiasa baik,” katanya.

Beli bongkah cendawan siap

Beliau yang turut memiliki Diploma Mekanikal dari Politeknik Sultan Azlan Shah berkata, kini beliau memilih membeli bongkah cendawan yang siap dengan benih daripada pembekal di Selangor kerana lebih praktikal serta menjimatkan kos operasi.

Katanya, penghasilan benih sendiri memerlukan proses rumit selain kos yang tinggi serta kesukaran mendapatkan bahan diperlukan.

“Pada bulan pertama, hasil tanaman boleh mencecah kira-kira 100kg sebulan daripada 2,000 bongkah sebelum berkurangan secara berperingkat. Kebiasaannya bongkah mampu bertahan antara tiga hingga lima bulan sahaja.

“Cendawan yang siap dibungkus dijual antara RM12 hingga RM15 sekilogram kepada peniaga sayur, pemilik restoran dan penduduk setempat,” katanya yang kini meraih pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

Muhammad Hasan berkata, meskipun perlu menjalani rawatan berkala termasuk pemindahan darah di hospital di ibu negara, keadaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam bidang pertanian.

Katanya, bantuan dan bimbingan diterima daripada FAMA banyak membantu meningkatkan hasil pengeluaran, selain mengubah persepsi masyarakat terhadap tanaman cendawan yang diusahakan sebelum ini di dalam rumah kediaman.

“Saya bersyukur kerana pendapatan kini semakin bertambah selepas menggunakan rumah cendawan selain risiko kerosakan juga dapat dikurangkan,” katanya.

FAMA Perak memainkan peranan utama dalam inisiatif Perak Sejahtera 2030, khususnya dalam memastikan keterjaminan makanan dan menggerakkan jualan barangan asas bersubsidi.

Ia cetusan berwawasan dan visi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemampanan dan kesejahteraan rakyat.

Sumber: Berita Harian