PASIR SALAK: Rumah Rakit Sepit Biru Sungai Mangkok, Kampung Gajah, yang terletak di pesisiran Sungai Perak, di sini mula menjadi tumpuan kaki pancing, selepas menjadi lubuk pemburu udang galah sejak dibangunkan setahun lalu.

Pembinaan rumah rakit di kawasan lubuk udang galah yang sinonim dengan panggilan “sepit biru” itu, kini menjadi sumber pendapatan kepada penduduk kampung terutamanya dalam membantu golongan rentan serta memerlukan mahupun bagi penganjuran program komuniti.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Mangkok, Mohamed Faizal Mastor, 29, berkata kerjasama erat penduduk kampung khususnya daripada golongan nelayan membolehkan kawasan itu makin dikenali dengan penyediaan pelbagai kemudahan yang sentiasa dipertingkatkan.

Menurutnya, inisiatif berbentuk keusahawanan komuniti seperti itu bukan sahaja mengangkat identiti kampung, malah membuka ruang kepada pengukuhan ekonomi setempat, peluang pelancongan komuniti, serta pembabitan aktif penduduk dalam memajukan kawasan komuniti masing-masing.

Beliau berkata, pembinaan rumah rakit itu bermula pada Oktober 2024 dan siap dalam Februari 2025, namun ia semakin dikenali sejak tiga bulan kebelakangan ini yang sekali gus membantu menambah pendapatan kampung lebih sekali ganda berbanding sebelumnya.

“Lokasi ini sememangnya terkenal sebagai lubuk udang galah dan ikan patin. Jadi kita sediakan juga kemudahan seperti tempat masak, dapur barbeku, dan sebagainya dengan dua pakej ditawarkan iaitu bagi memancing sahaja serta menggunakan fasiliti berkenaan.

“Hasil daripada sewaan rumah rakit ini disalurkan sepenuhnya kepada JPKK untuk kebajikan orang kampung seperti bantuan awal buat mereka yang ditimpa bencana seperti banjir atau ribut, atau berbentuk kotak makanan mahupun aktiviti komuniti di kampung,” katanya kepada BH.

Tambahnya, selain memancing udang dan ikan di rumah rakit itu, perkhidmatan sewa bot untuk memancing turut disediakan melalui usaha sama dengan penduduk khususnya daripada kalangan nelayan, sekali gus membolehkan merasai pengalaman memancing dengan menaiki bot di Sungai Perak.

Katanya lagi, selain sewaan rumah rakit serta bot nelayan projek itu juga memberi manfaat kepada kampung dengan populasi kira-kira 500 penduduk itu, apabila ada yang berniaga menjual umpan kepada pemancing.

Dibangunkan hasil inisiatif penduduk melalui peruntukan RM100,000 bagi program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI), projek berkenaan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Kata Mohamed Faizal, pemantauan projek dilakukan melalui Pegawai Lapangan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di peringkat daerah iaitu membabitkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Perak Tengah.

Tambahnya lagi, bagi memastikan kelestarian sumber habitat udang galah di sungai kawasan itu, bantuan dipohon daripada Jabatan Perikanan (DOF) bagi perolehan benih udang galah untuk dilepaskan di kawasan terbabit, dengan jangkaan bakal diperoleh tahun hadapan.

“Kita ada perancangan dan sudah berbincang dengan Jabatan Perikanan untuk pelepasan benih udang galah dan benih ikan untuk dilepaskan di sungai di situ, cuma kami diberitahu ia akan diperoleh awal tahun depan kerana tiada bekalan buat masa ini,” katanya.

ICU JPM serta PDT diletakkan sebagai antara agensi peneraju kepada ‘flagship’ ‘Membasmi Miskin Tegar 2025’ yang digariskan dalam pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Selain itu, DOF serta PDT turut diletakkan sebagai sebagai agensi peneraju kepada agenda 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi melalui ‘flagship’ Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat di dalam pelan pembangunan negeri yang sama.

Sumber: Berita Harian

ms_MYEnglish