IPOH: Pembangunan Kompleks Terminal Penggasan Semula (RGT) Ketiga negara di Lumut, Manjung seperti dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) minggu lalu selari dengan aspirasi kerajaan negeri memperkukuh sektor perindustrian negeri serta pertumbuhan ekonomi yang kompetitif dan mampan.
Terminal baharu itu yang akan dibangunkan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dengan kapasiti pemprosesan gas asli cecair (LNG) sekurang-kurangnya menyamai dua RGT sedia ada, adalah langkah memastikan jaminan bekalan gas, selain usaha menampung permintaan tenaga yang kian meningkat.
Pakar ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pembangunan RGT di Lumut amat penting mengambil kira peningkatan permintaan tenaga dari industri di wilayah utara semenanjung selain permintaan kian meningkat dari industri pusat data.
Katanya, ia menjadikan pembangunan terminal ketiga itu sebagai aset penting dalam ekosistem penjanaan tenaga yang bakal menyumbang kesan ekonomi positif kepada Lumut dan kawasan sekitarnya.
“Kesan ekonomi positif itu adalah dari segi mewujudkan peluang pekerjaan dan ekosistem perniagaan tempatan, apatah lagi daerah Bagan Datuk yang berhampiran dengan Lumut juga diumumkan dengan pembangunan pusat data bertaraf dunia berkapasiti 10 megawatt (MW),” katanya kepada BH.
Disember lalu, pembangunan pusat data (DC) bertaraf dunia berkapasiti 10 megawatt (MW) diumumkan menerusi pemeteraian memorandum perjanjian (MoA), di mana pembinaannya di atas tanah seluas 20.2 hektar di Bagan Datuk dijangka siap pada Oktober 2026.
Terminal RGT baharu di Lumut itu akan dibangunkan dengan kapasiti pemprosesan LNG sekurang-kurangnya menyamai dua RGT sedia ada iaitu RGT di Sungai Udang, Melaka dan Pengerang, Johor dengan masing-masing memproses 3.8 juta dan 3.5 juta tan LNG setahun.
Permintaan terhadap gas semakin meningkat yang sejajar dengan perkembangan sektor tenaga elektrik akibat elektrifikasi dan pendigitalan termasuk pertumbuhan pusat data, apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikatakan menyatakan minat untuk mengambil bahagian dalam pemilikan ekuiti RGT ketiga terbabit.
RGT berperanan penting dalam proses import gas asli apabila gas yang diimport akan disejukkan ke suhu sangat rendah sehingga menjadi cecair bagi membolehkannya disimpan dalam kapal tangki dengan isi padu 600 kali lebih kecil daripada bentuk asal, menjadikannya lebih menjimatkan.
Ahmed Razman berkata, pembangunan RGT ketiga itu juga dapat diselarikan dengan rancangan kerajaan negeri Perak yang sedang membangunkan projek industri berimpak tinggi termasuk Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Lumut Port Industrial Park (LPIP).
“Pembangunan RGT itu akan dapat diselarikan dengan rancangan kerajaan negeri Perak yang sedang membangunkan LuMIC kerana ia akan saling melengkapi dan mampu menjadikan Perak sebagai hab ekonomi baharu serantau,” katanya.
Lumut Port satu daripada entiti penting di Perak adalah pintu keluar masuk utama komoditi, khususnya sumber mineral yang dieksport melalui pelabuhan Lumut, di mana pertambahan kapal serta peningkatan kargo membawa kepada pembesaran Lumut Maritime Terminal 2.
LuMIC diunjur memperkukuhkan sektor maritim dan perindustrian Perak dengan membangunkan taman perindustrian maritim yang komprehensif.
LuMIC penting dalam merealisasikan industri berteknologi tinggi dan logistik maritim sebagai tunjang ekonomi masa depan Perak, sejajar matlamat Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam memacu kepelbagaian dan daya tahan ekonomi masa depan.
Sumber: Berita Harian

© 2025. All Rights Reserved.