KUALA KANGSAR: Permintaan tinggi terhadap tanaman kopi menyebabkan seorang pengusaha nurseri, di sini mengambil inisiatif meneroka kaedah penanaman lebih efisien bagi memperkasa industri kopi di negeri ini.

Mohamed Nazri Isa @ Esha, 38, yang mengusahakan tiga nurseri di Kampung Talang, Kampung Bendang Kering dan Kampung Ulu Kenas berkata, usaha itu tercetus selepas menyedari pengeluaran kopi tempatan yang masih terhad dan banyak bergantung kepada import.

Nurseri diusahakan Mohamed Nazri menumpukan kepada semaian pokok kopi bagi penanaman sendiri mahupun sebagai pembekal anak pokok kopi.

“Saya mula menanam kopi sejak 2019, sebelum kerajaan negeri menyuarakan hasrat menjadikan Perak sebagai pengeluar utama kopi tempatan. Ketika itu, saya mendapat tawaran daripada sebuah syarikat makanan dan minuman antarabangsa untuk membangunkan komuniti kopi,” katanya kepada BH, di sini.

Mohamed Nazri kini giat membangunkan Pusat Kampung Kopi Perak di Kampung Bendang Kering, sebagai projek komuniti berasaskan penanaman kopi yang membabitkan penyertaan penduduk tempatan.

Katanya, konsep berkenaan dilihat mampu memperkukuh rantaian pengeluaran kopi daripada ladang hingga ke pengguna.

“Contohnya, jika ada 10 petani dalam satu kampung menanam kopi, hasilnya akan diurus dan diproses dalam komuniti itu sendiri tanpa perlu bergantung kepada pihak luar.

“Langkah ini dapat menjimat kos dan meningkatkan pendapatan petani luar bandar,” katanya.

Mohamed Nazri berkata, beliau menyedari usaha kerajaan negeri Perak yang komited meneroka industri penanaman kopi melalui pengeluaran kopi jenama negeri, iaitu Kopi Perak dari varieti Liberica.

Ia sekali gus meningkatkan keinginannya meneroka potensi tanaman kopi itu lebih gigih.

Menurutnya, projek percubaan Pusat Kampung Kopi di Kampung Bendang Kering itu akan membabitkan 10 peserta dengan keluasan tanaman kira-kira 0.8 hektar setiap seorang, yang dijangka bermula pada 2026.

Katanya, sejak 2022, Jabatan Pertanian banyak membantu dari segi bimbingan teknikal dan infrastruktur, termasuk menaik taraf sistem pengairan dan kemudahan nurseri bernilai hampir RM100,000.

“Kini saya menumpukan kepada semaian menggunakan keratan batang daripada pokok induk kopi berbanding biji benih. Kaedah ini menjadikan anak pokok lebih cepat tumbuh dan seragam,” katanya.

Tumpu rantaian pertengahan

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Nosiyenti Othman, berkata pihaknya memperkukuh pembangunan industri kopi dengan memberi tumpuan kepada rantaian pertengahan antara ladang dan peruncit (brewer).

Katanya, masalah utama ketika ini ialah ketiadaan penyedia perkhidmatan di peringkat itu menyebabkan brewer lebih cenderung mengimport biji kopi mentah dari luar negara.

“Ketika ini tiada atau sangat kurang penyedia perkhidmatan yang berada di peringkat antara ladang dan brewer. Ini menyebabkan brewer lebih gemar membeli biji kopi mentah dari luar negara, sekali gus petani tidak beroleh pendapatan.

“Kita mahu mewujudkan rantaian lengkap, daripada petani menanam kopi, ada pihak yang menuai, mengeringkan, mengupas dan memproses biji kopi mentah sebelum menjualnya kepada brewer tempatan. Langkah ini dapat memastikan petani memperoleh pendapatan yang lebih stabil,” katanya.

Jabatan Pertanian diletakkan sebagai antara agensi peneraju kepada agenda 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi menerusi flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat bagi pelan Perak Sejahtera 2030 ilham Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sumber: Berita Harian

ms_MYEnglish