TANJUNG MALIM: Menginsafi pentingnya ilmu agama sebagai bekalan di penghujung usia, hasrat bekas guru agama, Mohd Tarmizi Ab Rahman, 61, untuk menubuhkan sebuah pusat pengajian agama khusus bagi golongan dewasa dan warga emas, akhirnya menjadi kenyataan.

Lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir itu pernah berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Zulkifli Muhammad, Slim River, sebelum memilih menjadi pendakwah bebas selepas tiga tahun dalam bidang perguruan.

Mohd Tarmizi berkata, sebagai pendakwah bebas beliau aktif menyampaikan ceramah dan kuliah agama di surau dan masjid di sekitar Perak serta Lembah Klang.

Katanya, impian menubuhkan pusat pengajian agama untuk golongan dewasa tercetus sejak beliau mula berkhidmat sebagai guru sekitar awal 1990-an.

“Ketika itu belum ada pusat pengajian agama khusus untuk orang dewasa, terutama warga emas di daerah Batang Padang.

“Pada peringkat awal, saya bercadang membukanya di Kampung Sungai Dara, Ulu Slim, namun hasrat itu tidak dapat diteruskan atas beberapa kekangan.

“Alhamdulillah, pada September 2017, impian itu menjadi kenyataan apabila pusat pengajian agama ini berjaya dibangunkan di Kampung Sempa, Slim River, kira-kira 150 meter dari Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur,” katanya.

Kini pusat pengajian agama berkenaan dikenali sebagai Kompleks Tarbiah Rayadhus Solehin atau lebih popular dengan nama Pondok Muallim.

Bermula di atas tanah seluas kira-kira satu hektar, kompleks itu kini berkembang sehingga hampir tiga hektar bagi menampung pelbagai aktiviti keagamaan.

Mohd Tarmizi yang juga Mudir Pondok Muallim berkata, kuliah Dhuha diadakan setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, kecuali pada hujung minggu.

Majoriti peserta adalah warga emas, pesara serta orang awam yang ingin mendalami ilmu agama.

“Kuliah dijalankan di dewan terbuka yang lengkap dengan kemudahan dan mampu memuatkan kira-kira 1500 orang pada sesuatu masa.

“Kawasan persekitaran yang tenang dan ruang selesa membolehkan warga emas memanfaatkan masa mendalami ilmu agama sebagai bekalan di akhirat nanti,” katanya.

Menurutnya, sejak awal penubuhan, operasi Pondok Muallim bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai yang menghadiri kuliah, selain derma individu dan pertubuhan bukan kerajaan.

Katanya, semua kuliah disampaikan secara percuma, manakala sumbangan diterima digunakan bagi menampung kos operasi serta memberi sedikit imbuhan kepada tenaga pengajar.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan lebih stabil selepas pondok itu mula menerima bantuan per kapita tahunan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bermula pada 2023.

“Bantuan itu digunakan untuk membayar bil utiliti, menyediakan elaun tenaga pengajar dan meningkatkan kemudahan bagi keselesaan jemaah.

“Tahun lalu, Pondok Muallim menerima bantuan sebanyak RM208,290 daripada JAKIM melalui MAIPk bagi tujuan pengoperasian.

“Saya berterima kasih kepada JAKIM, MAIPk serta kerajaan negeri yang sentiasa menyokong usaha kami memperkasakan pendidikan agama kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu, pondok berkenaan juga menerima bantuan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih bangunan termasuk pendawaian elektrik secara berkala daripada JAKIM melalui MAIPk.

Pondok Muallim kini mempunyai kira-kira 1000 keahlian dengan kekuatan 16 tenaga pengajar berkelayakan. Terdapat 140 pondok yang menjadi tempat penginapan atau tinggal bagi memudahkan mereka mengikuti kuliah setiap hari.

Mohd Tarmizi berkata, kuliah yang dijalankan setiap hari terbuka untuk orang ramai, malah golongan muda juga digalakkan hadir bagi mendalami ilmu agama.

Katanya, aktiviti secara kolaborasi dengan universiti tempatan termasuk luar negara dan badan kerajaan serta swasta turut dijalankan supaya fungsi dan kewujudan pondok itu terus memberi manafaat kepada masyarakat.

MAIPk menyokong pelan Perak Sejahtera 2030 melalui Flagship Ke-5, iaitu program pembolehdayaan modal insan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Ia cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemampanan dan kesejahteraan rakyat.

Sumber: Berita Harian