LARUT: Pinjaman tanpa faedah daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) membantu seorang bekas juruteknik automasi mesin meneruskan legasi bapanya mengusahakan penternakan udang galah air gunung di Selama, di sini.

Dikelilingi kawasan pergunungan udara nyaman, Yusni Dahalan, 48, menyifatkan tujuh kolam udang galah yang diusahakannya di Kampung Klian Gunung, Mukim Hulu Ijok, di sini sebagai antara elemen menyemarakkan sektor agropelancongan di daerah kecil Selama.

Beliau berkata, kolam udang galah yang diusahakannya itu juga dibuka kepada pengunjung untuk aktiviti memancing udang ‘sepit biru’ .

Pengunjung turut berpeluang melihat kaedah menternak serta merasai keenakan menu berasaskan udang galah di warung yang dibuka di situ.

Kata Yusni, penternakan udang di Selama unik disebabkan kaedah konvensional, iaitu menggunakan air gunung yang tinggi kandungan oksigen, sekali gus tidak memerlukan pemasangan pam. Ini menjadikan udang galah di sini segar dan bermutu tinggi.

Yusni berkata, dia mengambil perusahaan itu sepenuhnya daripada ibu bapanya pada 2018. Ia susulan tahap kesihatan ibu bapanya yang kian menurun seiring peningkatan usia mereka.

Susulan itu, dia berhenti kerja sebagai juruteknik di ibu kota dan pulang ke kampung.

Yusni berkata, dia seterusnya meluaskan skop perniagaan kolam udang itu dari aktiviti memancing udang hingga warung makanan, berbanding menghantar bekalan udang kepada peraih untuk dibekalkan ke premis kolam memancing serata negara.

“Sebelum ini, ibu bapa saya juga menerima bantuan antaranya daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi mengorek kolam ternakan yang ketika itu terdapat sebanyak 11 kolam.

“Bagaimanapun, ketika ini hanya ada tujuh kolam udang yang saya usahakan dengan setiap satu daripadanya terdapat kira-kira 10,000 ekor udang galah. Ia disebabkan tempoh pajakan tanah bagi empat kolam sudah tamat,” katanya kepada BH.

Tambah baik infrastruktur

Yusni berkata, dia ada menerima pinjaman daripada Perak SADC dan memanfaatkan bagi menambah baik infrastruktur serta fasiliti di kolam ternakan, khususnya berkaitan sistem perpaipan dan pengepaman sandaran (back up).

“Sistem pengepaman sandaran ini digunakan bagi situasi tertentu seperti keadaan hujan menyebabkan air gunung yang dialirkan ke kolam menjadi keruh, atau pun bekalan air tiba-tiba terputus bagi memastikan kandungan oksigen dalam air mencukupi.

“Selain Perak SADC bantuan secara one-off (sekali beri), saya juga pernah terima bantuan daripada Jabatan Perikanan beberapa tahun lalu berupa makanan udang serta benih,” katanya.

Lokasi kolam udang diusahakannya juga berdekatan dengan kawasan air terjun ikonik, Lata Puteh, iaitu air terjun ketiga tertinggi di Asia Tenggara serta Lata Titi Dua yang menambah seri kepada pakej agropelancongan di Selama.

“Majlis Daerah Selama (MDS) melalui Unit Pusat Maklumat Agropelancongan MDS juga menjadikan kolam pancing yang saya usahakan sebagai rakan strategik kepada beberapa pakej pelancongan di Selama,” katanya.

MDS adalah antara tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak yang menerima insentif RM100,000 pada 2024 sempena Karnival Agropelancongan Perak 2024 (PAC 2024) anjuran Perak SADC bagi memperkasa dan melonjakkan daya saing sektor agropelancongan di Perak.

Perak SADC diletakkan sebagai antara agensi peneraju kepada andalan atau . Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) di dalam pelan pembangunan negeri, Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, termasuk di bawah agenda Hab Agropelancongan.

Sumber: Berita Harian

ms_MYEnglish