Selama: Terletak lebih 100 kilometer (km) dari bandaraya Ipoh, Lata Tebing Tinggi, di sini, menjanjikan pengalaman rekreasi buat pelancong sehingga tidak terasa perjalanan walau datang dari jauh.
Pemandangan memukau alam semula jadi itu pastinya membuatkan sesiapa sahaja yang memandang terpesona dan ingin meluangkan masa lebih lama di kawasan perkelahan itu.
Di sini peranan Majlis Daerah Selama (MDS) sebagai pihak berkuasa tempatan menyediakan lokasi perkelahan keluarga yang selamat dan selasa dengan kerjasama operator pelancongan tempatan.
Pengusaha chalet di kawasan itu, Muhammad Haqimi Mohd Tairi, 26, berkata, keunikan Lata Tebing Tinggi yang menggabungkan keindahan alam, kemudahan lengkap serta pelbagai aktiviti rekreasi menjadikannya antara destinasi wajib singgah bagi sesiapa yang ingin meneroka keindahan tersembunyi negeri Perak.
Menurutnya, peluang menguruskan chalet di kawasan lata itu bukan sahaja membuka ruang perniagaan keluarga, malah membantu mempromosikan destinasi pelancongan luar bandar yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong tempatan.
“Pada asalnya kawasan ini di bawah MDS sebagai lokasi perkelahan.
“Kemudian pihak MDS mencadangkan pembangunan chalet dan saya dilantik sebagai operator untuk menguruskan kawasan ini.
“Dengan sokongan MDS serta bantuan infrastruktur daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) seperti pembinaan tandas, surau, gazebo dan tempat letak kenderaan, kawasan ini kini lebih selesa dan sesuai untuk kunjungan keluarga,” katanya.
Muhammad Haqimi berkata, D’ Lata Chalet yang diusahakan keluarganya sejak 2019, kini mempunyai 16 bilik yang menghadap terus ke air terjun, sekali gus memberikan pengalaman unik kepada pengunjung.
Katanya, setiap bilik dilengkapi kemudahan asas termasuk penyaman udara, televisyen dan bilik air sendiri, selain turut menyediakan dewan terbuka, kafe serta kawasan parkir yang mencukupi.
“Bagi pengunjung yang datang dalam kumpulan besar atau ingin merasai suasana lebih dekat dengan alam semula jadi, kami turut menyediakan tapak perkhemahan dengan harga antara RM30 hingga RM70, bergantung kepada lokasi dan kemudahan.
“Selepas pandemik Covid-19, sambutan meningkat sehingga 200 peratus dengan purata 5,000 hingga 6,000 pengunjung datang setiap bulan, terutama pada hujung minggu,” katanya.
Beliau berkata, keindahan semula jadi Lata Tebing Tinggi yang masih terpelihara selain suasana hutan yang mendamaikan menjadi tarikan utama pelancong dari seluruh negara.
“Kami juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti ‘hiking’ ke Lata Pelangi dengan bayaran RM15 seorang (minimum 10 orang) serta aktiviti menunggang kenderaan serba rupa bumi (ATV) bermula RM50 hingga RM250 merentasi kawasan kampung dan gunung.
“Walaupun lokasi ini agak jauh, kira-kira 400 meter dari jalan utama, ramai pengunjung sanggup datang kerana keunikan air terjun bertingkat dan suasana yang sejuk serta nyaman.
“Kami berasa bertuah kerana selain diberikan kebenaran sebagai operator, MDS turut membiayai pembinaan jalan bertar dari jalan utama terus ke lata ini sekaligus memudahkan pergerakan pelancong,” katanya.
Muhammad Haqimi berkata, sokongan MDS membuktikan komitmen mereka sebagai agensi pelaksana . Ekonomi Pengalaman, salah satu inisiatif dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Tambahnya, pengoperasian chalet itu turut memberi manfaat kepada komuniti setempat apabila tujuh penduduk kampung diambil bekerja sebagai kakitangan termasuk bahagian pengemasan, kaunter dan penyelenggaraan.
“Perancangan masa depan, kami bercadang menambah 16 lagi unit chalet bagi menampung permintaan yang semakin meningkat, selain memperluaskan tapak perkhemahan.
“Kami juga mengalu-alukan kehadiran rombongan sekolah, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk program jati diri kerana lokasi ini sangat sesuai untuk aktiviti luar,” katanya.
Dalam pada itu, pengunjung yang datang bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam, malah merasai pengalaman percutian yang lengkap dengan kos yang berpatutan apabila kadar sewaan chalet bermula serendah RM120 semalam, manakala tiket masuk ke air terjun hanya RM2 bagi dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak.
Sumber: Sinar Harian

© 2026. Hak cipta terpelihara.