IPOH – Kerajaan Negeri Perak melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) kini giat memperkasa institusi kekeluargaan menerusi pelaksanaan Program Naungan Kasih selaras aspirasi Perak Sejahtera 2030 bagi menjayakan agenda Sejahtera Sosial.

Program rintis anjuran bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu menyasarkan ibu bapa serta bakal ibu bapa di negeri ini sebagai peserta dengan tumpuan kepada pembentukan hubungan kekeluargaan yang sihat, sokongan emosi selain kemahiran mengurus konflik dalam kalangan ahli keluarga.

Pengarah Wanita Perak, Jamilah Zakaria berkata, modul Naungan Kasih ialah yang pertama seumpamanya di negara ini hasil kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak.

“Modul ini dibangunkan berdasarkan pendekatan membina ketahanan keluarga dengan konsep simbolik ‘rumah’ yang digambarkan memiliki tiang seri kukuh, dinding kuat dan struktur stabil, mewakili empat komponen utama iaitu masa berkualiti, komunikasi positif, kesihatan dan keselamatan serta disiplin berkesan dan pengurusan konflik.

“Ia menjadi asas penting dalam membentuk keluarga bahagia, seiring usaha melahirkan masyarakat sejahtera bermula dari rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamilah berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila seramai 50 peserta menyertai program itu melebihi sasaran asal LPPKN iaitu 30 peserta bagi setiap negeri.

Menurutnya, sambutan luar biasa itu sebagai petunjuk jelas ibu bapa di Perak kini semakin sedar kepentingan ilmu kekeluargaan terutama dalam mengurus anak-anak pasca era teknologi yang penuh cabaran.

Katanya lagi, antara modul yang turut diketengahkan dalam program itu termasuk Rumah Kasih Harmoni, Aku Selalu Di Sisimu, Perasaan vs Emosi, Sentuhan Orang Tersayang serta Keluarga Pintar Konflik Sifar.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan meneruskan kesinambungan program itu dalam bentuk kursus lanjutan atau bengkel khusus yang dirangka secara berperingkat sepanjang tahun.

“Kita juga akan melihat peluang untuk menambah baik modul sedia ada, termasuk memperkenalkan sesi khas seperti pengurusan konflik atau pendekatan sentuhan emosi antara ibu bapa dan anak,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Jamilah berkata program seumpama itu akan menjadi antara inisiatif utama di bawah dua teras penting Wanita Perak iaitu Pendidikan dan Keselamatan Wanita, Keluarga dan

Masyarakat yang menyokong matlamat Perak Sejahtera 2030.

“Perak Sejahtera 2030 bukan sahaja tentang ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi juga melibatkan pembangunan insan dari aspek emosi, sosial dan kesejahteraan keluarga.

“Kami akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi seperti LPPKN, supaya lebih ramai ibu bapa mendapat pendedahan dan sokongan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berharap program tersebut dapat diteruskan secara lebih meluas pada masa akan datang, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat Perak yang sejahtera bermula daripada unit terkecil iaitu keluarga.

Sumber: Sinar Harian

ms_MYEnglish