IPOH, 12 Okt (MalaysiaAktif) – Perak bakal menikmati pelbagai pelan naik taraf dan pembangunan negeri menerusi Belanjawan 2026 dalam usaha mencapai Perak Sejahtera 2030.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2026 kelmarin, berkata menerusi Tekad Kedua: Memenuhi Keutamaan Rakyat, Perak turut tersenarai antara negeri yang permohonannya diambil kira menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Menteri Besar Perak ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perasmian HSN peringkat Kebangsaan 2025, semalam.

Katanya, Pengkalan Hulu bakal menerima naik taraf jalan persekutuan, pembinaan persimpangan PLUS di Kerian dan pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) di Tanjung Rambutan.

Selain itu, Manjung turut akan menerima pembangunan Kerja-kerja Infrastruktur Asas Tanaman Industri Halal Perak (PHIP) dan naik taraf laluan FT100 (Seksyen 10.4) ke laluan FT3145 Pelabuhan Lumut (Seksyen 5.4), Manjung, Perak Fasa 5: Tanjong Malim-Pelabuhan Lumut.

Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata Pelan Perak Sejahtera 2030 mempunyai tekad yang seiring dengan Malaysia MADANI dalam melihat rakyat hidup dengan bermaruah, masa depan golongan muda yang cerah dan negara tetap berdiri teguh dalam nilai yang harmoni.

“Maka pada kesempatan ini, saya mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat Perak Darul Ridzuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri kerana dalam pembentangan semalam (kelmarin), Perak disebut dengan penuh perhatian dan harapan melalui pengumuman pelbagai inisiatif yang bakal memperkukuh asas kemajuan negeri ini.

“Ini termasuklah pengumuman pembinaan infrastruktur awal Perak Halal Industrial Park selain pembinaan infrastruktur jalan, kemudahan sekolah, jalan desa, balai polis, serta program pengupayaan usahawan muda di segenap pelusuk negeri,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri Perak yang disempurnakan Anwar di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini semalam.

Beliau berkata segala inisiatif tersebut menjadi bukti bahawa suara negeri tidak pernah diabaikan, dan semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus subur demi kesejahteraan rakyat.

Sumber: Malaysia Aktif

ms_MYEnglish