IPOH – Kerajaan Negeri Perak mengorak langkah memperkasa golongan penghafal al-Quran atau huffaz di negeri ini dengan menawarkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Inisiatif julung kali diperkenalkan itu memberi peluang kepada lepasan tahfiz di negeri ini untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma menerusi Program Diploma Kemahiran TVET Pengurusan Mutawwif Umrah dan Ziarah.

Program yang terjalin antara Yayasan Perak dan Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK) melalui Akademi TVET UniRAZAK (ATUR) disokong secara strategik oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu akan memberikan manfaat seramai 100 pelajar terpilih dari seluruh Perak.

Salah seorang pelajar, Abdul Mui’zz Solehin Muhammad, 23, mengakui sangat gembira dan bersyukur kerana terpilih menyertai program tersebut selepas menjalani sesi temuduga mencabar dan pemilihan yang ketat.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri khususnya Yayasan Perak yang memberikan peluang kepada saya menyertai program ini. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh dengan memperoleh keputusan cemerlang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Seorang lagi pelajar, Abdul Haziq Hamdi Khairol Rizal, 19, impiannya untuk menjadi seorang mutawif bakal menjadi kenyataan apabila menerima tawaran menyambung pengajian tersebut daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Saya bercita-cita untuk meneruskan kerjaya sebagai mutawif selain mendalami ilmu baharu yang lebih tertumpu dalam bidang kemahiran.

“Saya memang berminat bidang ini kerana mendengar cerita rakan mengenai ayahnya seorang mutawif. Apabila ada peluang untuk sertai program ini, saya terus menghadiri temuduga dan alhamdulillah terpilih.

“Insya-ALLAH, saya tidak akan mensia-siakan peluang ini. Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi peluang kepada kami lepasan tahfiz untuk terus berkembang dan menjadi profesional huffaz berkemahiran,” kata pelajar Maahad Tahfiz Pondok Moden Idrisiah Bagan Datuk itu.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan berkata, peluang yang disediakan untuk para huffaz itu merupakan sebahagian daripada program Empower Tahfiz yang merupakan inisiatif khas bagi pemerkasaan anak-anak tahfiz di negeri ini.

Katanya, kerjasama strategik tersebut membuka laluan pendidikan alternatif kepada lepasan tahfiz yang tidak melalui aliran akademik arus perdana sekali gus memperkasa mereka dengan kelayakan profesional untuk menyumbang dalam sektor pelancongan Islam, dakwah dan ekonomi ummah.

Sebagai nilai tambah utama, pelajar akan mengikuti praktikum eksklusif di Makkah dan Madinah untuk memperoleh pendedahan dunia sebenar.

Bagi meringankan beban kewangan permulaan, kerajaan negeri menyediakan tajaan pendahuluan berjumlah RM2,500 kepada 100 orang pelajar terawal sekali gus mempercepatkan penyesuaian pelajar kepada keperluan program.

Pelajar yang terpilih akan menjalani latihan industri, pendedahan keusahawanan serta bimbingan kerjaya yang menyeluruh, meliputi kemahiran teknikal, kompetensi perkhidmatan pelanggan dan persediaan kerjaya pasca tamat pengajian.

Sumber: Sinar Harian

ms_MYEnglish