PARIT: Seramai 200 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, di sini menerima bantuan RM200 sebulan menerusi program Mahasiswa Perak Sejahtera (MPS)

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bantuan tersebut bertujuan membantu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mendapatkan makanan mencukupi dan berkhasiat agar dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran.

“Kita buat program ini kerana saya tidak mahu mendengar ada pelajar yang berhenti belajar akibat tidak cukup makan.

“Bantuan RM200 mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, namun bagi mahasiswa yang berjimat hingga ke hujung minggu terakhir, jumlah itu amat besar ertinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Mahasiswa Perak Sejahtera 2030 di UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar di sini semalam.

Menurutnya, bantuan itu dapat mengurangkan tekanan kewangan para pelajar supaya mereka boleh belajar dengan tenang.

Beliau berkata, tidak mengapa jika miskin duit kerana ada pihak yang boleh membantu.

“Tetapi jangan miskin semangat, terutama dalam menuntut ilmu. Jika miskin semangat, tiada siapa yang dapat membantu,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan program itu akan diperluas ke UiTM Cawangan Tapah dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memberi manfaat kepada lebih ramai mahasiswa.

Sumber: Utusan Malaysia

ms_MYEnglish