PARIT BUNTAR: Inisiatif Pasar Sejahtera Rakyat Perak (PSRP) dilancarkan oleh Kerajaan Perak semalam bertujuan menyediakan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran setempat, ketika dunia sedang menerima kesan krisis tenaga di Asia Barat.
Program jualan murah sepanjang tahun ini memberi peluang kepada rakyat menikmati penjimatan bagi barangan keperluan harian sama ada barangan kering atau basah, dengan harga sekurang-kurangnya lima peratus lebih rendah berbanding pasaran biasa.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata inisiatif itu dilaksanakan di bawah Fasa 1 Langkah Mitigasi Impak Krisis Asia Barat Negeri Perak bagi tempoh April hingga Jun 2026. Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.7 juta bagi pelaksanaan PSRP di seluruh negeri sepanjang 2026.
Katanya, program ini adalah pendekatan bersepadu membabitkan pelbagai bentuk jualan bersubsidi sebagai payung subsidi untuk membantu rakyat men dapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
“RM2 juta diperuntukkan bagi PSRP yang dilaksanakan melalui Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di semua daerah dengan kekerapan bulanan, manakala RM1.2 juta lagi bagi Jua lan Sejahtera Rakyat di semua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yayasan Bina Upaya bersama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).
“RM400,000 diperuntukkan bagi Jualan Sejahtera Rahmah melalui Program Jelajah Sejahtera Desaku di kawasan luar bandar terpilih, serta RM100,000 bagi Jualan Koperasi Perak Sejahtera dengan sasaran manfaat kepada lebih 1,000 keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan inisiatif Pasar Sejahtera Rakyat Perak sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Siri Ketiga Tahun 2026 Kerajaan Perak di Saarani menyantuni pengunjung selepas melancarkan Pasar Sejahtera Rakyat Perak sempena Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian, semalam. Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian, semalam.
Diselaras melalui PDT Saarani berkata, pelaksanaan program ini diselaraskan melalui PDT dan diperluas ke semua kawasan Dewan Negeri bagi memastikan manfaat sampai ke peringkat akar umbi. Katanya, kerajaan juga akan meningkatkan jumlah lokasi dan kekerapan pelaksanaan supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati inisiatif itu. Sementara itu, rata-rata pengunjung menyambut baik pelaksanaan program ini kerana dapat mengurangkan beban kos sara hidup.
Juruteknik kilang, Mohd Khairul Hafiz Hashim, 31, berkata program jualan murah seperti itu sememangnya dinantikan kerana menawarkan harga lebih rendah, sekali gus membantu penjimatan sehingga 50 peratus berbanding perbelanjaan di pasar raya.
Bapa kepada dua anak itu berkata pendapatan sekitar RM2,000 sebulan menyebabkan beliau dan isterinya yang merupakan suri rumah sentiasa peka dengan program jualan murah di kawasan sekitar.
“Bukan saya sahaja, malah semua orang terkesan dengan keadaan sekarang. Kalau ada jualan murah begini memang sangat membantu dalam mengurangkan kos harian.
“Kalau beli di luar, mungkin hampir RM300 diperlukan, tetapi di program ini dengan lebih kurang RM100 lebih sahaja sudah boleh dapat kuantiti barangan yang sama,” katanya kepada BH.
Seorang lagi pengunjung, suri rumah Norarinezawati Mat Arshad, 44, berkata program ini sangat membantu keluarganya yang bergantung kepada pendapatan suami sebagai operator kilang dengan gaji asas sekitar RM1,700 sebulan.
Ibu kepada lima anak itu berkata beliau lebih menumpukan pembelian barangan basah seperti ayam dan ikan kerana harga di pasaran semakin meningkat.
“Walaupun saya di Kuala Kurau, harga ikan di sana pun mahal juga berbanding di sini.
“Kami memang mengalu-alukan program jualan murah ini, lebih-lebih lagi jika diperluaskan ke kawasan luar bandar ketika harga barang meningkat akibat kenaikan harga diesel.
“Program ini dapat ‘menyerap’ kos pengangkutan akibat kenaikan harga bahan api, sekali gus menjadikan harga barangan lebih murah,” katanya.
Menerusi pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Saarani, sekuriti makanan menjadi satu daripada sembilan agenda utama negeri, dengan matlamat memastikan bekalan makanan selamat, berpatutan dan menyokong gaya pemakanan sihat.
PDT turut memainkan peranan sebagai agensi peneraju dalam usaha membasmi miskin tegar di negeri itu.
Sumber: Berita Harian

© 2026. Hak cipta terpelihara.