IPOH: Pasangan suami isteri yang juga bekas jurutera tidak sesal meninggalkan kerjaya untuk menumpukan perniagaan memproses dan mengeluarkan coklat dalam balang (chocojars) serta biskut sepenuh masa

Mohamad Hassaidi Abd Hamid, 36, dan isteri, Nur Sashabila Iberahim, 36, kini di tahap selesa apabila perniagaan di bawah jenama N A Chocojars mampu memperoleh nilai jualan RM1 juta untuk 2024.

Mohamad Hassaidi berkata, dia mengambil keputusan meninggalkan kerjaya sebagai jurutera di syarikat kuari pada Disember 2021 untuk membantu isterinya yang juga lepasan ijazah kedoktoron (PhD) kejuruteraan teknologi hijau, yang ketika itu mengusahakan aktiviti jualan pakaian kanak-kanak melalui syarikat Hasbella Entreprise.

Beliau berkata, bagaimanapun produknya ditukar kepada snek manis chocojars dan cookies pada Oktober 2023, melihatkan penurunan trend fesyen pakaian kanak-kanak, sedangkan snek manis tetap menjadi rebutan golongan itu.

“Perniagaan pakaian kanak-kanak bermula sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 ketika saya dan isteri berfikir menghasilkan jenama sendiri. Ketika itu, kami bekerja dari rumah (WFH), menyebabkan banyak masa terluang, selain tidak banyak pengambilan baharu bagi jawatan pensyarah untuk isteri yang baharu memperoleh PhD.

“Memandangkan perniagaan jualan pakaian kanak-kanak yang kami usahakan nampak baik, kami teruskan hingga saya ambil keputusan berhenti kerja untuk membantu isteri mengendalikan perniagaan,” katanya kepada BH.

Mohamad Hassaidi berkata, perniagaan di bawah Hasbella Trading Sdn Bhd ketika ini lebih tertumpu kepada jualan dalam talian terutama platform e-dagang seperti Lazada, Shopee dan TikTok Shop, namun berhasrat mengembangkan lagi jualan di luar talian atau bersemuka secara fizikal.

Katanya, ia termasuk usaha meningkatkan pengeluaran antaranya memperbesar kilang penghasilan sedia ada yang terletak Pengkalan Station 18, di sini dengan bimbingan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) selaku pusat penyelaras, pelaksana dan pemantau dasar serta program usahawan negeri.

“Jadi dengan bantuan STeP, kami boleh menambah rangkaian kenalan berpotensi bagi membolehkan edaran produk kami ke kedai di seluruh negara menerusi jualan secara fizikal termasuk menyertai karnival jualan.

“Melalui pembabitan dengan STeP juga, saya mula nampak haluan untuk lebih berkembang apabila ia menyediakan banyak program latihan, memperluas rangkaian antara usahawan dan memudah cara kami untuk memohon bantuan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), mahupun agensi lain menawarkan bantuan pinjaman tanpa faedah kepada usahawan,” katanya.

Mohamad Hassaidi berkata, permintaan dan jualan produk syarikatnya yang setakat ini mempunyai 30 pekerja amat memberangsangkan, justeru sedang memikirkan untuk mencari tapak baharu memperbesar kilang berkonsepkan rumah kedai sedia ada di Station 18.

“Sebelum berhenti kerja, saya sudah melakukan penilaian risiko namun yakin potensi apa diusahakan, selain banyak yang boleh diperbaiki dan ditambah baik. Kami sudah di tahap pendapatan selesa dan puas apabila dapat mencipta peluang pekerjaan kepada 30 pekerja kami,” katanya.

STeP diletakkan antara agensi peneraju bagi agenda 1 Keluarga 1 Usahawan di bawah flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat menerusi pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 diilhamkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sumber: Berita Harian

ms_MYEnglish