PADANG RENGAS: Masjid Al Khairiyah Kampung Padang Asam di sini yang menjangkau hampir 120 tahun terus dipulihara dan diimarahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk aktiviti berteraskan keusahawanan bagi manfaat pembangunan komuniti setempat.
Dibina sejak 1896 di atas tanah wakaf dengan binaan kayu, ia beransur-ansur ditukar kepada kayu dan papan, seterusnya batu-bata pada 2012.
Pengerusinya, Zainal Baderi Abdul Khanip, berkata masjid itu mampu memuatkan hingga 350 jemaah pada satu-satu masa, menyediakan kemudahan lengkap, selain terus menggalakkan aktiviti keusahawanan termasuk bagi menjana pendapatan kepada masjid dimulakan dua tahun lalu.
Katanya, ia meliputi penghasilan sos cili dan tomato serta sabun basuh pinggan selain produk dihasilkan sendiri oleh komuniti dan ahli jawatankuasa masjid berbekalkan bimbingan serta bantuan pelbagai agensi kerajaan antaranya Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Menurutnya, selain kutipan sumbangan orang ramai, prasarana dan kemudahan masjid itu turut dibangunkan melalui peruntukan RM150,000 disalurkan Pejabat Menteri Besar Perak pada 2023.
Beliau berkata, peruntukan itu antaranya bagi kos pembinaan stor masjid berjumlah RM45,000 dan penurapan kawasan parkir masjid (RM25,000), selain kos tambahan seperti pembinaan jajaran longkang serta tempat wuduk.
Katanya, peruntukan RM70,000 juga disumbangkan Pejabat Menteri Besar Perak pada 2024 bagi pembinaan bilik pengurusan jenazah masjid serta pembelian perkara berkaitan dengannya.
“Alhamdulillah dengan sumbangan itu kemudahan di masjid boleh dianggap cukup serta selesa digunakan, berlainan dengan imej masjid ini yang dibina hampir 120 tahun lalu.
“Masjid perlu menyediakan kemudahan fizikal bagi keselesaan jemaah mahupun sesiapa sahaja berkunjung, apatah lagi masjid ini terletak di laluan utama jalan persekutuan,” katanya kepada BH.
Zainal Baderi berkata, selain bantuan di peringkat negeri Masjid Al Khairiyah turut beroleh manfaat pembangunan lain apabila Kampung Padang Asam menjadi Kampung Angkat MADANI bagi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) 2025, sekali gus menjadikan masjid itu berpeluang meneroka aktiviti keusahawanan dengan lebih meluas.
Menurutnya, ia termasuk melalui projek pembinaan dua unit kabin menempatkan operasi pembuatan sos serta produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti produk kuih sejuk buku serta kerepek untuk dipasarkan lebih luas dan teratur, selain pembinaan dua unit rumah inap di pekarangan masjid berkenaan dianggarkan bernilai RM140,000.
“Pembinaan ini dijangka dapat menampung perbelanjaan masjid bagi pelbagai aktiviti pengimarahan dan kemasyarakatan, selain meningkatkan taraf ekonomi warga setempat, apatah lagi kampung ini berhampiran dengan kawasan tarikan pelancongan, iaitu air terjun Ulu Kongsor.
“Ketika ini aktiviti keusahawanan di masjid ini banyak dipelopori melalui Biro Wanita masjid, dengan hasil keuntungan dibahagikan iaitu 30 peratus kepada masjid manakala selebihnya dibahagikan sesama ahli yang mengusahakannya sebagai sagu hati yang secara tidak langsung meningkatkan taraf pendapatan masyarakat setempat.
“Pihak masjid sudah memulakan program bank makanan, iaitu pemberian barang keperluan makanan asas, termasuk beras untuk diagihkan kepada puluhan keluarga asnaf di kariah masjid ini, yang keuntungan dijana dipulangkan semula kepada masyarakat,” katanya.
Sejahtera Sosial diletakkan sebagai satu daripada tiga teras pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Program Kepimpinan dan Ikhtisas Wanita turut diletakkan sebagai agenda menerusi flagship Program Menyantuni Golongan Rentan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 dalam memperkasa dan membangunkan keupayaan wanita sebagai sumber insan penting dalam pembangunan keluarga dan masyarakat dalam negeri Perak.
Sumber: Berita Harian

© 2025. All Rights Reserved.