LARUT: Terkenal dengan tujuh lata air terjun untuk aktiviti perkelahan, sungai di daerah kecil Selama, di sini masih terpelihara kebersihannya dan mempunyai keistimewaan tersendiri bagi aktiviti berakit redah jeram atau ‘white water rafting’.
Menerusi 11 jeram di jajaran Sungai Selama sepanjang 7 kilometer (km) dengan tahap kesukaran satu hingga empat, aktiviti sukan air lasak di Mukim Ulu Selama mutakhir ini, menjadi satu daripada tiga lokasi utama di Perak bagi pencinta sukan ekstrem.
Pengusaha Selama Rafting, Mohd Idrus Abd Wahid, 56, berkata aktiviti ‘rafting’ meredah jeram di Selama adalah terbaharu di Perak selepas di Gopeng dan di Ulu Slim, Tanjung Malim sejak diusahakan tahun 2019.
Katanya, ‘rafting’ di Selama bermula dekat Lata Rambung iaitu satu daripada lata air terjun ikonik di Selama. Ia menyelusuri sungai yang menjanjikan panorama memukau dan berbeza dengan lokasi lain.
“Di Selama kita bukan sahaja tekankan aktiviti berakit semata-mata. Kita akan menyelusuri sungai sambil menikmati pemandangan semula jadi sekeliling dan bertemu dengan beberapa jeram yang menuruni dari Lata Rambung.
“Setiap sungai mempunyai ciri tersendiri dan tidak boleh disamakan dengan aktiviti rafting di sungai di Selama ini dengan lokasi lain termasuk Gopeng dan Ulu Slim,” katanya kepada BH.
Kata Mohd Idrus, lokasi aktiviti rakit redah jeram di Selama turut diiktiraf melalui penganjuran pertandingan bertaraf antarabangsa, Selama Rafting International Challenge 2024 pada November 2024 yang berjaya menggamit minat 248 peserta termasuk dari Filipina dan Indonesia.
Menurutnya, program tiga hari itu mendapat sokongan Tourism Perak dan membabitkan 48 kumpulan yang bertanding melalui kategori antarabangsa, terbuka kebangsaan serta tertutup dengan membabitkan peserta amatur tempatan.
“Tahun lalu kita tak terima penyertaan dari banyak negara memandangkan terdapat dua acara pertandingan rakit redah jeram bertaraf antarabangsa.
“Bagaimanapun, di Selama pertandingan ‘rafting’ juga terbuka kepada mereka yang tidak pernah melakukannya atau amatur iaitu secara tertutup.
“Antara keistimewaan ‘rafting’ di Selama, kita bukan sahaja buka untuk mereka bertaraf ‘guide’ (pengendali) aktiviti sukan lasak ini, namun orang yang tak pernah ‘rafting’ pun boleh ikut berlumba bagi kategori tertutup,” katanya.
Menurutnya, selaku operator tunggal mengendalikan aktiviti rakit redah jeram di Selama, Selama Rafting kini cuba membangunkan kawasan itu dengan aktiviti berkenaan termasuk melalui pembangunan bakat belia untuk dilatih sebagai operator sukan air ekstrem itu di masa depan.
“Kita menjurus pembangunan ekonomi atau ekopelancongan setempat, justeru kita akan membangunkan belia di kawasan ini untuk jadi operator sukan ‘rafting’ di sini. Majlis Daerah Selama (MDS) adalah rakan strategik dan kini kita bergerak seiringan.
“Kita cuba untuk mempromosikan Selama, bukan sahaja bagi sukan rakit ini tetapi meliputi semua aktiviti pelancongan di sini. Namun sukan ‘rafting’ menjadi perkara teras dan dilihat lebih senang diketengahkan,” katanya.
MDS adalah antara tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak yang menerima insentif RM100,000 pada tahun lalu bagi memperkasa dan melonjakkan daya saing sektor agropelancongan, termasuk menerusi penubuhan Pusat Informasi Pelancongan Daerah Selama.
Ekonomi Pengalaman menjadi antara andalan atau ‘flagship’ kepada pelan pembangunan negeri, Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan Tourism Perak serta pihak berkuasa tempatan (PBT) diletakkan sebagai antara agensi penerajunya.
Sumber: Berita Harian