IPOH- Terletak di pesisir pantai dengan sumber alam semula jadi, Kampung Telaga Nenas kini menjadi contoh kejayaan komuniti luar bandar memanfaatkan potensi yang ada untuk pembangunan ekonomi dan kesejahteraan penduduk.

Kejayaan itu diiktiraf apabila kampung tersebut dinobatkan sebagai Johan Anugerah Desa Sejahtera 2024 dan tempat ketiga bagi Anugerah Sejati Madani hasil kerjasama erat antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pejabat Daerah dan Tanah Manjung dan penduduk setempat.

Pengerusi JPKK Kampung Telaga Nenas, Mohamad Isa Hussain berkata, anugerah yang membawa pulang hadiah RM10,000 itu merupakan pencapaian pertama kampung berkenaan hasil penyatuan tenaga semua pihak.

“Kita gunakan anugerah yang ALLAH beri kepada kampung ini iaitu terletak di tepi laut untuk membangunkan projek kelong memancing.

“Ia bukan hanya memberi manfaat kepada pengusaha kelong, tetapi juga kepada masyarakat yang terlibat secara langsung seperti pengusaha kedai makan, pembekal umpan, penyewa sampan dan kedai runcit,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Isa berkata, sebanyak dua kelong diusahakan oleh JPKK manakala selebihnya kira-kira 15 kelong dimiliki penduduk kampung yang melihat potensi pelancongan memancing di kawasan tersebut.

Menurutnya, kampung itu kini dikenali sebagai ‘lubuk siakap’ dalam kalangan kaki pancing sekali gus menjadikan ia tarikan baharu kepada pelancong dan peminat aktiviti memancing dari luar.

Sumber: Sinar Harian

ms_MYEnglish