Parit Buntar: Di tengah-tengah sawah padi di Batu 5 di sini berdiri kilang pengeluaran cendawan tiram sejak enam tahun lalu, yang diusahakan sendiri oleh pesawah tempatan.

Ia menempatkan sekitar dua juta bongkah medium dengan pengeluaran harian mencecah tiga hingga empat tan hasil cendawan pelbagai jenis, membuatkannya antara kilang terbesar di Malaysia.

Pengarah Urusan CendawanKu, Jacky Yip, 45, yang pada awalnya mengusahakan tanaman padi, berkata, keputusan terjun ke sektor cendawan dibuat selepas meneliti potensi pasaran.

Menurutnya, dia memulakan langkah dalam industri berkenaan pada 2019 dengan 500,000 bongkah medium terdiri daripada cendawan tiram putih (Pleurotus florida), abalone (Pleurotus cystidiosus) dan tiram kelabu (Pleurotus sajor-caju).

“Permintaan terhadap cendawan tiram sangat tinggi dan ia boleh dimakan pelbagai cara.

“Contohnya, cendawan tiram putih terkenal sebagai snek goreng kerana teksturnya yang rangup. Cendawan abalone sesuai untuk dimasak dalam hidangan seperti sup ayam, spaghetti bolognese atau mi udon untuk menambah rasa umami dan tekstur, manakala tiram kelabu pula sering menjadi ramuan wajib dalam sup, gulai serta masak tumis.

“Tambahan pula, cendawan kaya dengan protein dan vitamin yang membantu mencegah kanser, selain tumbesarannya bebas penggunaan racun, mendorong orang ramai menjadikan tumbuhan ini sebagai alternatif makanan sihat,” katanya.

Berkongsi kelebihan tanaman itu, Jacky berkata, cendawan mempunyai jangka hayat pendek tetapi kadar pusingan jualan yang tinggi.

“Bongkah medium boleh mengeluarkan hasil pertama seawal tujuh hari dan hasilnya boleh dituai selama 80 hari dengan panjagaan rapi.

“Harga pasaran tumbuhan ini juga stabil, membuatkan pelanggan dapat membeli pada harga yang berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, operasi kilang kini berkembang ke tahap industri moden berskala besar dengan kapasiti antara 1.5 juta hingga dua juta bongkah, mampu menghasilkan sehingga tiga hingga empat tan sehari.

“Saya lihat cendawan ini memberi peluang kepada ramai usahawan kecil.

“Peniaga pisang goreng dan keropok lekor boleh menambahkan item cendawan goreng bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Jadi, saya mahu kilang ini bantu mereka dapatkan bekalan segar dan stabil,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perjalanan ke arah kejayaan itu tidak mudah kerana beliau berdepan pelbagai cabaran, antaranya serangan penyakit dan hama yang boleh menjejaskan keseluruhan hasil tanaman.

“Kalau satu bahagian kena jangkitan, penyakit boleh merebak ke seluruh kilang.

“Kami terpaksa buang semua bongkah dan mulakan semula proses penghasilan. Ia sangat memeritkan kerana membabitkan kerugian tinggi,” katanya.

Bagi memastikan kawalan kualiti, Jacky menekankan amalan kebersihan dan sistem pengeluaran terkawal dalam setiap proses penghasilan cendawan.

Katanya, komitmen itu membuahkan hasil apabila ladangnya dianugerahkan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) oleh Jabatan Pertanian Perak, bulan lalu.

Pensijilan itu adalah pengiktirafan kepada CendawanKu sebagai ladang yang diusahakan secara organik bagi mengeluarkan makanan yang selamat dan berkualiti serta menjaga keselamatan alam sekitar.

“Pensijilan ini sangat membantu pemborong dan pelanggan lebih yakin dengan hasil kami, malah urusan pemasaran ke pasaran luar negara menjadi lebih mudah.

“Selain pasaran tempatan di Perak, bekalan cendawan ini dipasarkan kepada sekitar Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur dan Singapura,” katanya yang berjaya mencipta peluang pekerjaan kepada 20 pekerja tempatan.

Dia berkata, pensijilan itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian Perak selaku agensi peneraju agenda Keterjaminan Makanan seperti digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Berkongsi perancangan masa hadapan, Jacky berkata, kilang CendawanKu kini membuka ruang kerjasama kepada syarikat pemprosesan makanan bagi membangunkan produk hiliran berasaskan cendawan, termasuk burger sayuran, sambal dan kerepek.

Menurutnya, mereka yang berminat untuk menjadi pemborong atau bekerjasama dalam sektor itu boleh menghubungi pihaknya di talian 012-5767199 serta Facebook CendawanKu Parit Buntar.

“Kami pengeluar utama cendawan dengan pengeluaran besar setiap hari.

“Jadi, kalau ada syarikat mahu hasilkan produk seperti ‘vegan patties’ atau makanan sejuk beku berasaskan cendawan, kami amat mengalu-alukan kerjasama,” katanya.

Sumber: Harian Metro

ms_MYEnglish