TAPAH – Menyertai aliran program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuka lembaran baharu kepada seorang bekas pelajar tahfi z untuk terus berjaya sekali gus bergelar tenaga pengajar di Northwestern Institute Of Advanced Technical Skills (NIATS) di Seri Manjung.
Muhamad Amjad Mohamad Zamri, 29, berkata, tidak pernah terlintas dihatinya untuk menyertai bidang berbentuk kemahiran selepas lima tahun mendalami ilmu agama.
“Apabila menghadiri temuduga kerja, majikan akan minta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi saya tidak ada. Saya seperti tiada harapan.
“Bagaimanapun, dorongan daripada kedua ibu bapa untuk belajar kemahiran menyebabkan saya mula mencari hebahan di media sosial mengenai TVET dan memilih bidang kimpalan berikutan ayah turut melakukan pekerjaan sama,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah AIM TVET bersama Cikgu Saarani di Kompleks Sukan Tapah, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, tekad diteruskan dengan mengambil SPM sebagai calon persendirian berikutan ia kelayakan asas pendidikan yang diperlukan.
“Selepas itu saya terus menyambung latihan kemahiran untuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang Kimpalan Arka Kepingan Logam di NIATS selama 18 bulan.
“Tidak berakhir di situ, saya sambung ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam, Selangor dalam bidang Pengurusan Teknologi Kimpalan dan tanpa perlu menunggu lama saya terus diterima bekerja,” katanya.
Anak jati Alor Setar, Kedah itu berkata, usaha kerajaan termasuk Kerajaan Negeri Perak memperkasa aliran TVET memberi peluang kedua kepada pelajar dan belia untuk membina kerjaya dalam bidang industri.
“Tidak dinafikan pada awal menceburi bidang TVET akan menerima pandangan negatif dan meletakkan pilihan bidang kemahiran tidak akan memberi sebarang kemajuan.
“Namun, apa yang dapat dilihat dari tahun ke tahun usaha kerajaan memperkenalkan TVET dapat membuka fikiran dan pandangan pelajar-pelajar sekolah dan ibu bapa bahawa dalam latihan kemahiran pun boleh berjaya.
“Penerangan melalui pengalaman saya dan rakan kerja juga dapat membuka mata dan pandangan ibu bapa dan pelajar-pelajar mengenai banyak peluang pekerjaan selepas tamat belajar TVET dalam industri,” katanya.
Koridor TVET Malaysia menjadi agenda utama pelan Perak Sejahtera 2030, hasil inisiatif Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan tujuan untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang mampan, inklusif dan dinamik.
Pembangunan modal insan melalui program TVET itu bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi kehendak industri dengan kerjasama sektor swasta dan industri.
Program-program TVET dalam negeri ini bermatlamat untuk mengimbangi migrasi remaja ke luar Perak, melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi serta menarik pelabur luar ke negeri Perak.
Sumber: Sinar Harian