PARIS – Nama Lenggong kini bergema di pentas antarabangsa apabila kawasan tersebut secara rasmi diiktiraf sebagai Geopark Global Pertubuhan Pendidikan, Saintik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengiktirafan tersebut diterima Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad daripada Ketua Seksyen Sains Bumi dan Pengurangan Risiko Geobahaya UNESCO merangkap Setiausaha Program Geosains dan Geopark Antarabangsa, Kristof Vandenberghe di ibu pejabat Nasional 11 UNESCO, Paris, Perancis pada Isnin.

Turut hadir menyaksikan pengiktirafan bersejarah itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohamad Fitri Hasan; Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong (MDL), Mohd Amzari Mohd Arzami dan Setiausaha MDL, Muhammad Khairul Ameer Abbas.

Menerusi hantaran di Facebook, Saarani berkata, pengiktirafan berprestij itu meletakkan Lenggong sebaris geopark terkemuka dunia, sekali gus mengangkat profil daerah berkenaan sebagai destinasi arkeopelancongan bertaraf global.

Menurutnya, kejayaan tersebut amat bermakna memandangkan persaingan sengit daripada pelbagai negara yang turut berusaha mendapatkan pengiktirafan sama, namun Lenggong berjaya menonjolkan keunikan warisan geologi, arkeologi dan budaya yang dimilikinya.

“Lebih membanggakan, Lenggong turut menerima status sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2012, menjadikan kawasan itu antara yang memiliki dua pengiktirafan bertaraf antarabangsa.

“Semoga pengiktirafan ini akan terus memacu Lenggong sebagai destinasi arkeopelancongan bertaraf antarabangsa yang mampu memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi setempat,” katanya pada Selasa.

Saarani berkata, pengiktirafan terbaharu itu merupakan hasil usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Perak, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta Jawatankuasa Badan Pengurusan Lenggong Geopark dalam memelihara serta mempromosikan khazanah semula jadi dan sejarah kawasan tersebut.

Martabat nama Malaysia

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, pengiktirafan itu amat bermakna bukan sahaja kepada Lenggong, malah turut mengangkat nama Perak dan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut menjadikan Lenggong antara kawasan di Malaysia yang menerima dua status bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata, Lenggong memiliki kekayaan khazanah luar biasa dengan 39 geowarisan serta 21 tapak warisan dan budaya, termasuk lapan daripadanya bertaraf antarabangsa.

Katanya, antara penemuan penting di kawasan tersebut adalah bukti kewujudan manusia seawal 1.83 juta tahun lalu berdasarkan penemuan batu meteorit di Bukit Bunuh, Kota Tampan yang diiktiraf sebagai satu-satunya tapak seumpamanya di Asia Tenggara.

“Lenggong UNESCO Global Geopark juga diiktiraf kerana nilai geologi yang luar biasa, biodiversiti yang kaya serta warisan budaya yang unik.

“Ini sekali gus menjadikannya landskap penting yang menggabungkan keindahan alam semula jadi dengan kepentingan sejarah,” katanya.

Tambah beliau, geopark tersebut merangkumi kawasan Mukim Temelong, Mukim Durian Pipit, Mukim Lenggong, Mukim Kenering dan Mukim Gerik yang mempunyai pelbagai ciri semula jadi seperti tasik, sungai, gunung serta tapak arkeologi penting.

Jelasnya, pengiktirafan itu dijangka memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pelancongan serta membuka peluang kepada komuniti untuk terlibat dalam keusahawanan pelancongan.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif telah dan akan dilaksanakan termasuk program Geoschool, Geoentrepreneur serta penganjuran acara seperti Lenggong Dialog 2026 bagi memperkukuh peranan komuniti setempat.

Selain itu, usaha turut dipergiat untuk menjadikan Lenggong sebagai pusat pendidikan terbuka melalui kerjasama institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.

Beliau dalam masa sama berharap kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dapat membantu membangunkan infrastruktur pelancongan di kawasan tersebut.

Dengan pencapaian itu, Lenggong kini dijangka terus berkembang sebagai destinasi arkeopelancongan dan pelancongan pendidikan bertaraf dunia.

Sumber: Sinar Harian