IPOH: Bermula dengan mewarisi legasi jualan bahulu panas tradisional yang diasaskan keluarga mentuanya di Trolak, Tanjung Malim, seorang usahawan wanita kini berjaya mengembangkan perniagaan itu hingga mencatatkan jualan tahunan melebihi setengah juta ringgit.

Perniagaan Bahulu Perak Enterprise yang diusahakan Zahilah Asmuni, 46, bersama suaminya, Mohd Hazli Husain, di bengkel penghasilan di sini bukan lagi sekadar menghasilkan bahulu panas, malah turut mempelbagaikan produk snek lain seperti kuih kapit, kerepek pisang tanduk dan bertih jagung (popcorn).

Zahilah berkata, beliau mula menjual bahulu panas di premis Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh pada 2015 selepas Mohd Hazli membuat keputusan berhijrah dari FELDA Trolak Utara, Tanjung Malim, selepas berbelas tahun mengusahakan perniagaan keluarga di kawasan itu.

Ibu tiga anak itu berkata, pada awalnya perniagaan di Ipoh dijalankan secara produk berbungkus yang dihantar ke beberapa premis kedai termasuk Hentian Rehat & Rawat (R&R) sebelum mengubah strategi kepada jualan terus bersemuka di UTC Ipoh.

Katanya, perniagaan itu makin berkembang apabila mampu mendapatkan tiga lot tapak di pusat membeli-belah di Kinta City, di sini pada 2018, selain menjadi vendor untuk pelbagai produk kuih tradisional seperti kuih bangkit dan rempeyek.

Beliau berkata, pinjaman RM20,000 dengan tanpa faedah daripada Yayasan Perak melalui Program Bantuan Pinjaman Tabung Usahawan Yayasan Perak membantu perniagaannya bangkit selepas terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan COVID-19 pada 2021.

“Pinjaman daripada Yayasan Perak itu digunakan sebagai pusingan modal memandangkan ketika itu kami sudah mempunyai beberapa lagi lot kedai termasuk di pasar raya besar yang lain,” katanya kepada BH.

Terima pelbagai bantuan

Kata Zahilah, perniagaan diusahakannya itu turut mendapat bimbingan dan bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri Perak sehingga membolehkan mereka mendirikan serta melakukan kerja ubah suai bengkel di Taman UK Raya, Ulu Kinta yang mula beroperasi pada 2023.

Menurutnya, geran RM20,000 yang diterima digunakan untuk membeli mesin menghasilkan bertih jagung bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, selain RM20,000 lagi yang diterima dua tahun lalu bagi kerja pengubahsuaian bengkel.

“Selain kursus keusahawanan, pembabitan Jabatan Pertanian juga membuka ruang untuk pemasaran produk, khususnya di acara atau karnival keusahawanan yang diadakan seperti Coop Fest 2025 Jelajah Usahawan Negeri Perak di Arena Square Batu Gajah Oktober lalu,” katanya.

Menurut Zahilah, kebiasaannya jualan sedikit perlahan sekitar tiga hingga empat bulan selepas Aidilfitri, namun itu tidak menghalangnya mencatatkan jualan sekitar RM600,000 pada 2023 dan nilai itu meningkat kepada RM700,000 pada 2024.

“Jualan biasanya akan perlahan selepas Hari Raya. Oleh itu kami mempelbagaikan produk seperti kerepek pisang tanduk, bertih jagung dan kuih kapit untuk menampung jualan pada bulan biasa.

“Untuk raya ini, kami menyasarkan pengeluaran masing sebanyak 2,000 pek bagi bahulu, kuih kapit dan kerepek pisang kerana permintaan tahun lalu sangat tinggi hingga tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, operasi perniagaannya dibantu dua pekerja di bahagian pengeluaran di bengkel, manakala tiga lagi mengendalikan jualan di pusat membeli-belah.

Yayasan Perak diletakkan sebagai antara agensi peneraju kepada agenda 1 Keluarga 1 Ushawan di bawah flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat menerusi pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Jabatan Pertanian turut diletakkan sebagai antara agensi peneraju kepada agenda 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi di bawah flagship serta pelan yang sama.

Sumber: Berita Harian