IPOH: Dua kursus latihan jangka pendek tajaan kerajaan negeri yang disertai, berjaya mengubah kehidupan seorang suri rumah yang sebelum ini menjalankan khidmat spa bergerak secara separuh masa.

Norfaizatul Baizura Ezlin Haszukeri, 38, sewajarnya berbangga pada dirinya kerana kini bergelar pengusaha spa berasaskan ekonomi penjagaan.

Beliau mengusahakan khidmat urutan buat ibu berpantang serta penjagaan ibu bersalin di bawah jenama Jarijemari Bonda Alyn yang berpangkalan di Klebang, di sini.

Perkhidmatan ditawarkan itu secara bersama suaminya, Haizul Fakharuddin Mohamad Redzuan, 44, yang turut menawarkan khidmat urutan.

Pada masa sama, pasangan suami isteri ini turut menawarkan perkhidmatan penjagaan warga emas dengan mengemudi, ‘Jarijemaricare’ yang meliputi khidmat di hospital, rumah pesakit dan pusat jagaan sekitar Ipoh.

Ibu empat anak itu berkata, beliau tekad mengubah nasib keluarga, apabila diuji suaminya hilang pekerjaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 melalui peningkatan kemahiran dengan menyertai kursus penjagaan ibu bersalin sekitar empat tahun lalu,.

Beliau seterusnya, menyertai kursus kedua anjuran PASAK pada 2024 iaitu dalam bidang penjagaan warga emas. Kali ini, ia turut disertai suaminya yang ketika itu menjalankan khidmat sambilan berkaitan pendawaian elektrik.

“Dulu hidup kami sangat susah terutamanya ketika PKP apabila pendapatan kami hanya cukup untuk makan dan membayar sewa rumah. Lalu, saya nekad mulakan kembali kemahiran mengurut yang pernah saya miliki sebelum ini ketika bekerja di spa dahulu.

“Pada Februari 2024, kami berjaya membuka sebuah spa berbekalkan sedikit modal permulaan yang dipinjam daripada kenalan, namun sebelum itu saya dan suami sama-sama menyertai kursus lima hari tajaan PASAK bagi latihan penjagaan warga emas.

“Kini saya dan suami fokus menjalankan perkhidmatan urutan serta penjagaan. Saya fokus kepada penjagaan ibu bersalin manakala suami menumpukan penjagaan warga emas,” katanya kepada BH.

Norfarizatul berkata, pendapatannya kini melonjak berkali ganda berbanding, ketika menjalankan khidmat spa bergerak separuh masa. Malah, spa yang diusahakannya mempunya lima ahli terapi selain turut berperanan sebagai pusat latihan kemahiran dan keusahawanan.

Katanya, dia dan suami enggan berpatah ke belakang apabila mendapati, khidmat urutuan serta penjagaan sama ada ibu bersalin mahupun warga emas sentiasa mempunyai permintaan, khususnya di lokaliti kawasan bandar seperti Ipoh.

“Sebelum saya menyertai kursus pertama PASAK, saya memang tiada hala tuju walaupun mempunyai pengalaman mengendalikan spa bergerak. Namun melalui kursus itu saya nampak lebih jelas perjalanan saya apabila adanya persekitaran yang betul serta bimbingan.

“Perkhidmatan sebegini memang sentiasa ada permintaan sebab hampir setiap hari ada sahaja orang bersalin. Pada masa sama, gaya hidup di kawasan bandar yang kebiasannya adalah individu bekerjaya, mungkin kurang masa atau pengetahuan dalam hal sebegini,” katanya.

Katanya, selain PASAK, beliau turut menerima Geran Usahawan Perak Sejahtera (GeRAK) berjumlah RM2,000 melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) bagi bantuan membeli peralatan di spa antaranya tab mandian serta troli bagi kegunaan di spa selain kursus keusahawanan.

PASAK diletakkan sebagai agensi peneraju kepada flagship (andalan) Koridor TVET Malaysia dalam pelan pembangunan negeri, Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, selain agenda ‘1 Warga 1 Skil’ melalui ‘flgaship’ Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Sumber: Berita Harian

ms_MYEnglish