PARIT: Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Puncak Iskandar di Seri Iskandar, di sini, melangkah setapak ke hadapan apabila mengkomersialkan penghasilan makanan tradisi Perak, rendang Tok, bagi menambah sumber pendapatan warganya.

Pengerusinya, Dr Norhazlan Haron, 47, berkata produk berasaskan rendang Tok itu adalah keluaran pertama di bawah Projek Produk Komuniti, hasil kerjasama antara KRT Puncak Iskandar dan Pejabat Perpaduan Daerah Perak Tengah yang turut membabitkan kelompok wanita (Jiranita) serta warga emas (Jiran Warga Emas).

Katanya, fasa awal projek dimulakan menerusi jualan serta promosi pada Program Sambutan Minggu Perpaduan Negeri Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh, pada 27 dan 28 September lalu, melalui slot demonstrasi masakan warisan negeri itu.

“Kami memilih rendang Tok daging kerbau kerana ia melambangkan identiti masakan tradisi Perak, khususnya bagi daerah Perak Tengah. Penyediaannya agak rumit, namun menjadi simbol keaslian warisan kulinari negeri ini,” katanya kepada BH.

Dr Norhazlan yang juga pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, berkata geran sebanyak RM20,000 di bawah skim Rukun Tetangga (RT) Progresif akan dimanfaatkan untuk memperluas pengeluaran produk itu menggunakan teknologi retort makanan, bagi meningkatkan jangka hayat simpanan rendang itu.

“Mulai Oktober ini, kami akan beralih kepada pengeluaran berkala menggunakan teknologi retort supaya rendang tahan lebih lama. Buat masa ini, kami hanya memasak mengikut tempahan, sekurang-kurangnya 20 kilogram setiap kali bagi mengelak kerugian,” katanya.

KRT Puncak Iskandar meliputi dua kawasan perumahan dengan 2,792 isi rumah di Puncak Iskandar serta 480 isi rumah di perumahan baharu, Rimbayu@Puncak Iskandar.

Katanya, komposisi penduduk terdiri daripada 30 peratus golongan B40, 50 peratus M40, manakala selebihnya daripada kumpulan T20 dengan majoritinya penjawat awam.

Dr Norhazlan berkata, peruntukan tahunan RM6,000 yang disalurkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) kepada setiap KRT tidak harus dijadikan alasan untuk tidak aktif, sebaliknya boleh dipergiatkan melalui kerjasama rentas agensi.

“Kerjasama erat dengan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) selaku pihak berkuasa tempatan misalnya, membolehkan kami menganjurkan pelbagai program berimpak tinggi tanpa menanggung kos besar,” katanya.

Menurut beliau, antara aktiviti terkini yang mendapat sambutan ialah program kerohanian komuniti dengan menjemput pendakwah selebriti bagi mengimarahkan kawasan kejiranan. Program itu turut menarik penyertaan kanak-kanak serta masyarakat luar kawasan KRT.

“Pendekatan sebegini bukan sahaja menjimatkan kos, malah memperluas impak manfaat kepada komuniti. Ada kalanya, pihak ketiga turut menaja, manakala KRT menyumbang idea serta tenaga kerja,” katanya.

Katanya, peranan KRT kini tidak lagi terbatas kepada aspek keselamatan menerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) semata-mata, tetapi turut memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti dan pembentukan jati diri.

“Kami juga berkolaborasi dengan Jabatan Kesihatan Daerah Perak Tengah untuk penganjuran pemeriksaan kesihatan percuma serta pameran kesihatan kepada penduduk.

“Selain itu, pelbagai aktiviti patriotik turut dilaksanakan seperti sambutan ambang kemerdekaan dan tayangan wayang pacak filem berunsur kepahlawanan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif sedemikian seiring dengan matlamat Komuniti Perak Sejahtera, satu daripada . di bawah Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang digerakkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sebagai agensi peneraju.

Sumber: Berita Harian

ms_MYEnglish