KUALA KANGSAR: Bermula dengan menghasilkan kerepek daun kaduk secara kecil-kecilan, seorang ibu tunggal kini berjaya mengembangkan perniagaan snek berasaskan herba yang ditanam sendiri sehingga mendapat sambutan menggalakkan.
Menggunakan jenama Kerepek Herba Yongtie, Kudapan Herba Enterprise yang diasaskan secara milikan tunggal oleh Noorhayati Zakaria, 55, kini mengeluarkan pelbagai jenis kerepek herba, termasuk daun kaduk, bayam, bayam Brazil, bawang putih, peria, daun kunyit, petola ular dan pegaga.
Noorhayati berkata, perniagaan itu menjadi sumber pendapatan utamanya selepas kematian suami empat tahun lalu, selain menjadi titik kebangkitan untuk meneruskan kelangsungan hidup sebagai ibu tunggal.
Katanya, segala-galanya bermula apabila beliau pulang ke Kampung Kubang Udang, Bekor di sini, pada awal 2017 selepas berhenti kerja di sebuah kilang di Pulau Pinang sebelum berkhidmat secara kontrak dengan sebuah agensi kerajaan dalam bidang pemasaran sawit.
“Selepas kontrak tamat tiga tahun kemudian, saya sedar pentingnya mempunyai perniagaan sendiri. Tidak lama selepas itu saya berkahwin kali kedua dengan arwah suami yang ketika itu bekerja sebagai kontraktor di sebuah sekolah berasrama.
“Ketika itu saya tetap merasakan perlu mempunyai sumber pendapatan sendiri. Saya mula menghasilkan kerepek herba secara kecil-kecilan sambil menghadiri pelbagai kursus keusahawanan.
“Rakan-rakan yang mencuba kerepek daun kaduk memberikan maklum balas positif dan menggalakkan saya menjualnya secara komersial,” katanya kepada BH.
Noorhayati yang mempunyai seorang anak angkat daripada perkahwinan pertama serta seorang anak tiri daripada perkahwinan kedua, kini mengusahakan perniagaan itu seorang diri.
Beliau berkata, meskipun tidak memiliki premis fizikal, semua produk dihasilkan di bengkel berhampiran rumah sebelum dipasarkan secara dalam talian, terutama menerusi platform e-dagang.
Katanya, penyertaan dalam program jualan dan jelajah keusahawanan turut membantu meningkatkan pendapatan, malah hasil jualan bagi sesuatu program boleh mencecah sehingga RM4,000.
Dalam mengembangkan perniagaan itu, Noorhayati berkata, beliau menerima pelbagai bentuk bimbingan dan bantuan daripada Jabatan Pertanian (DOA), termasuk latihan keusahawanan menerusi kursus percuma serta geran berjumlah sekurang-kurangnya RM13,000.
“Geran yang diterima kira-kira lima tahun lalu digunakan untuk membeli pelbagai peralatan seperti dua unit rak gondola, mesin pencincang (slicer), ketuhar serta peralatan khas bagi pelabelan dan pembungkusan produk,” katanya.
Selain itu, beliau turut menerima Geran Usahawan Perak Sejahtera (GERAK) 2023 berjumlah RM2,000 menerusi Sekretariat Usahawan Perak (STeP) yang dimanfaatkan untuk membeli dua unit dapur tungku bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kerepek serta dua unit mesin pengedap (sealer).
“Pada saya, syarat yang ditetapkan Jabatan Pertanian untuk menerima bantuan dan bimbingan tidak terlalu ketat berbanding sesetengah agensi lain yang mensyaratkan usahawan memiliki tanah sendiri.
“Selagi kita menghasilkan produk berkaitan pertanian, peluang itu terbuka. Pembabitan dengan STeP juga banyak membantu usahawan seperti saya, termasuk memberi peluang menyertai program jelajah keusahawanan untuk memasarkan produk,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Jelajah Hari Usahawan dan Koperasi 2026 Perak di Kota Lama Kiri, baru-baru ini.
Jabatan Pertanian dan STeP antara agensi peneraju agenda 1 Daerah 1 Aktiviti Ekonomi di bawah Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam pelan Perak Sejahtera 2030 yang dicetuskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Sumber : Berita Harian

© 2026. Hak cipta terpelihara.