Gerik: Anak penoreh getah dari Kampung Bongor, di sini, nekad mahu menjadi pensyarah bagi mengubah taraf kehidupan keluarga selepas melalui pelbagai cabaran sejak kecil termasuk kehilangan ibu ketika berusia 14 tahun.
Nazifah Zainol, 20, berkata, kehidupannya bersama lapan adik-beradik lain bukan mudah apabila hanya bergantung kepada pendapatan ayahnya, Zainol Abdul Hamid, 54, yang bekerja sendiri sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak menentu.
Katanya, ibunya, Allahyarham Rahimah Hussin yang juga guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), meninggal dunia akibat diabetes ketika dia berada di tingkatan dua.
“Saya anak keenam daripada sembilan beradik. Selepas mak meninggal dunia, memang agak susah untuk kami adik-beradik.
“Waktu itu saya sekolah di sekolah menengah agama agama dari tingkatan satu hingga tingkatan dua sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) FELDA Bersia,” katanya.
Nazifah berkata, walaupun berdepan kekangan kewangan, bapanya tetap kuat membesarkan mereka adik-beradik dan sentiasa memberi semangat supaya terus belajar demi masa depan lebih baik.
Nazifah berkata, kehidupan di kampung dengan suasana rumah yang sibuk bersama ramai adik-beradik antara cabaran terbesar untuk fokus belajar ketika di sekolah.
“Saya pernah bercita-cita mahu masuk sekolah berasrama kerana mahukan suasana belajar yang lebih kondusif, tetapi rezeki saya di sekolah harian.
“Apabila balik rumah memang susah sikit nak fokus belajar sebab ramai adik-beradik,” katanya.
Katanya, dia yang kini melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Putra Malaysia (UPM) bersyukur apabila terpilih menyertai Program Anak Angkat Cikgu Saarani anjuran Kerajaan Negeri melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) ketika di tingkatan empat.
“Saya dipilih selepas guru kaunseling minta isi borang permohonan. Masa itu saya tak sangka akan terpilih.
“Program ini memang banyak membantu saya dan keluarga dari segi kewangan, pendidikan serta sokongan moral sampai hari ini,” katanya.
Nazifah berkata, sepanjang menyertai program itu, dia menerima elaun bulanan RM100 ketika di sekolah menengah dan matrikulasi sebelum meningkat kepada RM150 sebulan selepas melanjutkan pengajian ke universiti.
Katanya, bantuan berkenaan digunakan untuk membeli buku, keperluan belajar serta menampung kos makanan harian di universiti sekali gus mengurangkan beban bapanya.
“Dulu masa sekolah menengah saya ulang-alik dari rumah ke sekolah dan banyak guna duit elaun untuk beli buku.
“Sekarang bila belajar di universiti, duit itu saya guna untuk makanan dan sara diri. Jadi saya tak perlu terlalu kerap minta duit daripada ayah,” katanya.
Selain bantuan bulanan, Nazifah turut menerima bantuan komputer riba selepas memperoleh keputusan cemerlang 7A 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia.
Katanya, bantuan awal kewangan turut diberikan YBUDR ketika dia mahu mendaftar masuk ke Kolej Matrikulasi MARA Kuala Nerang dan UPM.
“Sebelum masuk matrikulasi dan degree, saya ada masalah kewangan membayar turan pendaftaran.
“Saya hubungi pegawai YBU dan Alhamdulillah dapat bantuan RM1,500 untuk matrikulasi dan RM1,000 lagi masa masuk ijazah sarjana muda.
“Bantuan itu memang sangat membantu untuk bayar keperluan awal pengajian,” katanya.
Katanya, bantuan itu membuktikan komitmen YBUDR selaku agensi bertanggungjawab meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat serta kebajikan sosial dalam pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurutnya, pegawai YBUDR juga sentiasa bertanya khabar dan mengikuti perkembangan pengajiannya dari semasa ke semasa.
Katanya, program anak angkat berkenaan bukan sahaja membantu dari sudut kewangan malah memberi keyakinan untuk terus mengejar cita-cita.
“Saya mahu jadi pensyarah dan ubah kehidupan keluarga menjadi lebih baik.
“Saya juga ingin ucap terima kasih kepada Menteri Besar dan YBUDR atas keprihatinan membantu saya dari tingkatan empat hingga hari ini,” katanya.
Sumber: Harian Metro

© 2026. Hak cipta terpelihara.