Ipoh: Anak pemandu traktor dari Chemor, di sini, tekad mengejar impian menjadi pendidik demi mengubah nasib keluarga.
Chong Wai Yin, 20, berkata, minatnya terhadap dunia pendidikan dan subjek Matematik sejak kecil menjadi pendorong melanjutkan pengajian dalam bidang perguruan.
Penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan (Matematik) di Universiti Malaya itu berkata, cita-cita asalnya adalah menjadi guru sebelum memasang impian lebih besar untuk bergelar pensyarah pada masa depan.
“Saya memang minat Matematik kerana suka bermain dengan nombor dan menyelesaikan masalah.
“Semasa di sekolah, saya sering membantu rakan-rakan yang kurang mahir dalam subjek itu.
“Daripada situ saya sedar saya suka mengajar dan berkongsi ilmu, guru-guru juga selalu berpesan supaya jangan lokek ilmu kerana lebih banyak kita berkongsi, lebih banyak manfaat yang kita peroleh,” katanya.
Anak bongsu dari tiga beradik itu berkata, bapanya, Chong Kim Fatt, 61, bekerja sendiri sebagai pemandu traktor dan jentolak, manakala ibunya, Loh Po Po, 58, adalah suri rumah sepenuh masa dengan pendapatan keluarga yang tidak menentu dengan purata RM2,000 sebulan.
Kesulitan keluarga Wai Yin mendapat perhatian Kerajaan Negeri Perak yang menawarkan dia menyertai Program Anak Angkat Cikgu Saarani (AACS) kendalian Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR).
“Saya bersyukur dipilih menyertai program AACS sejak tingkatan empat.
“Pada mulanya saya tidak tahu mengenai program itu, tetapi guru kaunseling sekolah mencadangkan saya memohon kerana memahami keadaan kewangan keluarga kami,” katanya.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Rambutan itu berkata, sepanjang menyertai program berkenaan dia menerima elaun bulanan RM100 ketika di sekolah menengah dan kolej matrikulasi sebelum dinaikkan kepada RM150 sebulan selepas melanjutkan pengajian ke universiti.
Selain itu, Wai Yin berkata, dia turut menerima baucar pembelian barangan persekolahan menerusi program Back To School serta komputer riba percuma yang disifatkannya sebagai antara bantuan paling bermakna dalam menyokong pembelajarannya.
“Elaun bulanan yang diberikan sangat membantu saya untuk membeli keperluan pembelajaran dan perbelanjaan harian sebagai pelajar,” katanya.
Katanya, bantuan itu membuktikan komitmen YBUDR meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat serta kebajikan sosial selari pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hasil usaha gigih dalam pelajaran, Wai Yin berjaya memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 8A+ dan 2A- dan membolehkannya melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Perak sebelum meneruskan pengajian peringkat ijazah di Universiti Malaya.
Wai Yin berkata, dia berharap dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang sebelum menyumbang semula kepada masyarakat melalui bidang pendidikan.
“Saya mahu membantu lebih ramai pelajar berjaya dalam Matematik dan pada masa sama mengubah taraf hidup keluarga,” katanya.
Sumber: Harian Metro

© 2026. Hak cipta terpelihara.